Sabtu, 25 Mei 2013

PERJUMPAAN KELUARGA

Setiap dua atau tiga bulan, kami adik beradik sering  mengadakan perjumpaan keluarga. Perjumpaan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di antara kami sekeluarga. Di antara pengisian dalam pertemuan keluarga,  kadang kala diadakan bacaan yassin, menyambut hari jadi ataupun bermesyuarat jika ada isu penting yang hendak dibincangkan. Setelah lebih empat bulan bagi tahun 2013, kami tidak dapat membuat perjumpaan keluarga yang boleh mengumpulkan semua adik beradikku. Tanpa diduga, setelah membuat beberapa kali perancangan, akhirnya dapat juga kami adik beradik berkumpul pada hari Jumaat, kerana kebetulan hari itu cuti am kerana Hari Wesak.

Memandangkan pada pagi hari Khamis aku baru sahaja membuat Spageti berkuahkan Cheese and Herbs untuk anak-anakku menyambut Hari Guru di Sekolah Al-Hidayah, aku tidak sempat untuk merancang apakah menu yang perlu aku bawa ke rumah kakakku. Kebetulan pula petang Khamis itu aku telah membeli tiga ikan pucuk ubi untuk dibuat masak tempoyak, maka masakan itu merupakan salah satu menu yang perlu aku buat. Selepas sarapan aku telah pergi ke NSK Balakong, dan aku terpandangkan ikan patin, terus aku merancang untuk membuat menu Ikan Patin Tempoyak. Aku membeli dua ekor ikan patin. Kemudian aku membeli tulang lembu, tomato, kacang panjang, lobak merah, kacang dal. Jika sempat aku hendak membuat menu dalca jika sempat.
Balik sahaja dari NSK, aku terus bersilat di dapur untuk membuat semua masakan yang telah aku rancangkan supaya masakan tersebut dapat disiapkan dengan segera. Memandangkan tulang lembu masih lagi keras diselaputi oleh air batu, hasrat aku untuk merebus tulang lembu terbantut. Aku hanya sempat untuk membuat Pucuk Ubi Masak Tempoyak dengan Ikan Patin Masak Tempoyak.
 
 

Ikan Patin Masak Tempoyak
 
  
 



Pucuk ubi masak tempoyak

Lebih kurang jam 3.00 petang, kami sekeluarga pun berangkat menuju ke Kota Warisan. Sampai di sana semua sudah sampai kecuali seorang lagi yang masih lagi belum sampai, walaupun tinggal di Kota Warisan. Setelah dihubungi berapa kali, rupanya ada tetamu yang datang ke rumahnya. Setelah kami semua menjamu selera, anak saudaraku memasang air di belakang rumahnya kerana ada tab jakuzi di belakang rumah mereka. Anakku sememangnya sudah membawa baju dan tuala untuk mandi di sana jika berkesempatan.






 
 
 
 
Memandangkan makanan untuk makan malam tidak cukup, ada yang mencadangkan untuk buat barbeku. Tapi aku mengatakan takut tak sempat untuk membakarnya, lalu ada yang mencadangkan buat steam boat dan beli Ayam KFC saja. Jarum jam menunjukkan pukul6.15 petang. Adikku dan adik iparku ingin pergi ke GAINT di bandar Nilai untuk membeli bahan untuk buat steam boat. Aku pun ikut serta kerana saja untuk mencuci mata. Sempat juga kami mencatat resepi untuk membuat sos Steamboat daripada kakakku

.


 
 



 
 
 
Suamiku dan adik-adik lelakiku pula asyik berborak di luar. Dari satu isu dan cerita diborakkan antara mereka. Bila ada kisah lucu, terdengar gelak besar mereka.
 
 
 
.  
 
 
 

Pada sebelah malamnya pula, diadakan upacara memotong kek untuk menyambut hari ulang tahun pada ahli di kalangan kami yang lahir pada bulan Mei. Badanku semakin letih, Aku memberi isyarat kepada suami untuk pulang. Kami sampai di rumah jam 12.15 malam. Aku berdoa agar kami semua dapat berkumpul lagi di masa akan datang. Insyaallah.
 
 

Rabu, 22 Mei 2013

Kursus Microsoft Access

Beberapa bulan yang lepas Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah mengarahkan kepada semua pentadbir bahagian supaya menyenaraikan semua fail yang telah ditutup bagi tahun 2007 dan sebelumnya.   Kami telah diberi kursus tentang pengurusan fail tutup oleh pihak ARKIB, pengelasan dokumen, keselamatan dokumen, dan berbagai-bagai lagi untuk menambahkan pengetahuan kami sebagai pentadbir bahagian.  Sememangnya sudah lama aku telah membuat senarai fail tutup tersebut dengan menggunakan Microsoft Excell  dan menyusun nama fail   mengikut abjad.  Walau bagaimanpun, menurut pegawai yang menguruskan fail tutup ini, senarai tersebut hendaklah disusun mengikut nombor fail, sub nombor, sub-sub nombor fail  dan ditaip menggunakan boran Arkib 5/08.  Aku terpaksa menggunakan kepakaranku yang tidak seberapa untuk menyusun semula senarai fail tersebut mengikut  nombor fail.  Namun aku masih tetap menyimpan senarai fail tutup mengikut abjad demi rujukanku di masa akan datang. 

Bagi memudahkan semua pentadbir bahagian, Sistem kemasukan fail tutup telahpun dibuat oleh kawanku Mohd Fazli Ismail dari Bahagian Harta Intelek secara sukarela dengan menggunakan Microsoft Access.  Kebanyakan pentadbir bahagian kurang mahir dan ada yang tidak pernah menggunakan perisian tersebut.  Lantas aku telah beberapa kali mencadangkan kepada Bahagian Sistem Pengurusan Sumber Manusia agar memaklumkan kepada Bahagian Pembangunan Sumber Manusia untuk mengadakan kursus Microsoft Access kepada semua pentadbir bagi keperluan tersebut.   Tetapi tidak ada sebarang respond pun, sehinggalah suatu hari aku membuka facebook dan telah add rakan yang bernama latihan DBP.   Di situlah  aku berpeluang memaklumkan apa yang diperlukan oleh pentadbir bahagian.  Alhamdulillah akhirnya berjaya juga hasrat aku untuk mengikuti kursus Microsoft Access kerana Bahagian Pembangunan Sumber Manusia akhirnya telah mengadakan kursus tersebut bermula dari 21 Mei hingga 23 mei 2013 di Bilik Makmal, Aras 4, Podium DBP.  Tenaga penceramahnya dari JNA IT Develepment (M) Sdn. Bhd.  oleh Encik Hailan bub Abdul Hamid.  Seramai 20 orang pentadbir telah ditawarkan untuk menghadiri kursus tersebut.  Aku juga dimaklumkan, kursus tersebut akan diadakan lagi di masa akan datang untuk pentadbir lain yang belum lagi menghadirinya.
 
Selepas sahaja habis  menghadiri  kursus tersebut pada hari pertama, aku terus mencuba di pc  menggunakan microsoft Access untuk membuat satu rekod agihan manuskrip bagi memudahkan pencarian jika ada penulis luar atau bahagian yang bertanya kembali tentang manuskrip mereka.   Tak sabar hendak mencubanya.  Tapi banyak lagi yang perlu aku ketahui.  Terima kasih kepada En. Hailan kerana melalui kursus tersebut dapat juga ilmu yang diperoleh, dan aku akan cuba membuat nota secara slide menggunakan power point untuk rujukanku di masa akan datang.
 
 
 

 
 


 
 



 




















Gambar dari jurufoto akan dimasukkan kemudian.

Isnin, 20 Mei 2013

BERBAKTI KEPADA TANAH ADA HASILNYA!

Suamiku dan empat orang rakannya telah diberi  sebidang tanah atas nama salah seorang rakan mereka yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan seluas 15 ekar.   Kedudukan tanah itu di Lenggeng, Negeri Sembilan.   Tanah tersebut diberikan hanya untuk projek pertanian ataupun penternakan.    Setiap tahun hanya bayaran cukai tanah yang tidaklah tinggi sangat dan akan dikenakan ke atas  mereka.   Pada mulanya aku tidak berapa percaya mereka sanggup menguruskannya, kerana kawasan tersebut dipenuhi  dengan semak samun dan lalang belaka.  Lagipun mereka semua adalah staf kerajaan yang bekerja di dalam pejabat sepenuh masa.  Setiap hujung minggu mereka akan pergi ke ladang tersebut untuk menerangkan kawasan semak samun dan lalang tersebut,  sehinggakan  aku naik bosan kerana setiap hujung minggu sahaja suamiku dan kawan-kawannya pasti akan ke sana.  Pernah juga suamiku menunjukkan kepadaku tangannya yang kasar dan luka-luka di tubuhnya kerana  membuat kerja-kerja  pembersihan di ladang tersebut.   Kulit di tangan dan mukanya  pun semakin gelap.  Dulu kulit suamiku berwarna putih kuning, tetapi kini aku pula lebih cerah daripadanya.  Ibuku juga pernah berkata tangan suamiku terlalu kasar dan uratnya pun timbul-timbul, mengalahkan tangan buruh dari Indonesia yang membuat bangunan.  Geli pula hati aku apabila mendengarnya.  Suamiku hanya tersenyum apabila aku memberitahunya.

Setiap daripada mereka  mempunyai kepakaran masing-masing dan setiap orang  memainkan peranan masing seperti mereka  membina sendiri rumah lembu, membuat pagar, membuat stor, membuat saluran air,  memasang pam air, dll agar kos tidak banyak dikeluarkan.    Setelah satu tahun lebih mereka menguruskannya, alhamdulillah akhirnya mereka berjaya menjadi penternak dan petani moden walaupun hasilnya belum lagi diagihkan kerana duit yang diperoleh  masih dibuat pusingan modal untuk membeli peralatan lain  Disamping menternak  lembu, kambing, ikan talapia,  mereka juga cuba untuk  menambahkan pendapatan dengan menanam cili, api, buah betik, kacang bendi pula.   Pernah juga aku pergi ke sana beberapa kali mengikuti suamiku ke sana, tetapi ketika itu, tempat untuk berehat/bersantai  tidak sempurna lagi,  menyebabkan aku tidak berminat untuk mengikutinya.   Tambahan pula kawasan di situ agak panas dan kering.   Setiap kali aku ke sana, mukaku pasti akan bertukar kepada warna agak gelap sedikit  seolah-olah aku telah pergi mandi  laut.

Semalam, pada tarikh 19 Septembear 2013, aku dan keluargaku telah pergi ke ladang tersebut.  Selepas menghadiri majlis perkahwinan anak kawanku Rosilawati Yusuf di Keramat Mall, kami terus menuju ke ladang itu.  Sebelum itu, aku telahpun membawa T-shirt, seluar panjang, tuala serta baju anak-anakku dan yang paling penting sekali ialah air mineral dua botol besar  kerana di sana tiada air paip.  Sampai di sana, kelihatan sepasang suami isteri sedang memesin rumput untuk dijadikan makanan lembu.   Pasangan suami isteri itu merupakan pekerja di ladang itu.  Setelah aku menukar baju dan menyimpanan baranganku, aku terus pergi ke kandang kambing yang bersebelahan dengan  bilik rehat dan tempat penyimpanan barang-barang. Kambingnya  pula agak jinak, dan apabila tangan dihulurkan  kambing-kambing itu akan datang kepada kami seolah-olah menyambut kedatangan kami, 

Kemudian aku berjalan lagi menuju ke kandang lembu.  Kelihatan  lembu-lembu itu telah membesar dan ada juga yang gemuk.  Sebelum ini keadaan lembu di situ kurus-kurus belaka dan aku mengatakan kepada suamiku, lembu-lembu itu terlalu kurus seperti lembu di Negara Afrika sahaja.  Mungkin lembu di ladang itu terlalu banyak dan makanan pula mungkin  tidak mencukupi.  Untuk menyelesaikan masalah, mereka  telah menjual sebahagian daripada lembu-lembu itu.
 
 



 
 
 

sebahagian daripada lembu-lembu yang diperlihara

 





Rumput Napier yang boleh dimesin untuk makanan lembu


Makanan lembu pula  adalah dari rumput Napier.  Rumput tersebut ditanam dengan meluas di ladang itu supaya lembu tersebut tidak  akan keputusan makanan.  Mereka juga terpaksa mengaji tiga  orang pekerja untuk menguruskan makanan lembu, membersihkan kandang lembu, memesin rumput Napier untuk dijadikan makanan, dsbnya.. 

Selepas itu, aku pergi melihat pokok cili.  Terkejut aku apabila melihatkan buah cili apinya gemuk dan besar.  Begitu subur sekali, mungkin disebabkan baja tahi lembu yang telah digunakan pada pokok cili api itu.   Baja tahi lembu merupakan baja yang paling baik sekali, kerana makanannya hanyalah daripada rumput.  Aku mengambil sedikit cili  api itu untuk dibawa pulang.




Pokok Cili Api
Pekerja yang rajin.  Pekerja perempuan dari Indonesia dan pekerja lelaki pula dari Bangladesh.  Yang bagusnya apabila kedua-duanya berkomunikasi, mereka bertutur dalam Bahasa Melayu.



Dari jauh kelihatan anak-anakku bermain di kolam ikan.   Hatiku tidak tenang membiarkan mereka bersendirian.  Malang tidak berbau.  Cepat-cepat kakiku melangkah ke arah mereka.  Di tangan mereka masing-msing memegang tangguk ikan.   Sudah puas mereka cuba menangkap ikan, tetapi tidak sseekor pun yang masuk ke dalam tangguk mereka.   Aku pun meminta tangguk ikan itu dan mencubanya.   Akhirnya aku dapat dua ekor ikan Talapia  dan mencuba kali kedua dan dapat lagi dua ekor Talapia.

Bakal penternak ikan yang bergaya








Susah juga hendak menangguk ikan, takut jatuh dan ikan pula cerdik melepaskan diri.

 
 

Hasil tangkapan ikan

 
 
 
 
Terpaksa meniti titi untuk pergi dan balik ke kolam ikan

Selepas aku mendapat empat ekor ikan tilapia itu, aku mengajak anak-anakku balik ke rumah rehat.  Sampai di sana aku melihat, suamiku dan rakannya Aris sedang membetulkan saluran paip yang tidak berfungsi untuk  menyiram anak pokok cili.  Air siraman tidak berpusing dan kadang kala air yang keluar cuma sedikit sahaja.  Setelah diibaikpuih dan diperiksa setiap sambungan saluran air tersebut, tetapi tidak berjaya   Mereka semua bersepakat mengatakan tekanan ait tidak kuat untuk mengepam air dari kolam.   Penyelesaiannya ialah mesin pengepam air perlu dibeli satu unit lagi khas untuk penanaman cili api dan betik supaya anak pokok itu dapat membesar dengan sempurna.
   

Anak pokok cili
 
 
 
 
 Suamiku sedang membaiki alat siraman yang tidak boleh berfungsi dengan baik kerana tekanan air yang tidak kuat disebabkan jarak kolam dan kuasa injin yang kecil.



Jumaat, 17 Mei 2013

PERTANDINGAN MEMASAK

Baru-baru ini Puspanita DBP telah menganjurkan suatu pertandingan memasak untuk staf DBP.  Aku boleh memasak, tetapi untuk bertanding rasanya takut pula.  Aku boleh bayangkan bagaimana tanganku akan menggigil untuk memotong bawang atau pun untuk mengopek  kulit kentang.  Ishhhhhk!  malas aku hendak hadapi semua itu.

Rupa-rupanya pertandingan itu diadakan pada hari ini iaitu 17 Mei 2013 (Jumaat)  di Dewan Bankuet.   Selepas makan tengah hari di Cafeteria bersama rakanku Siti Hazlinda, kami terus pergi ke Dewan Bankuet.   Apabila sampai di sana,     masakan telah tersedia di atas meja.  Peserta rupanya telah memasak di rumah lebih awal, dan bukannya masak di situ.  Terdetik juga di dalam hatiku "Kalau macam ini, aku pun boleh masuk ni".  Tapi disebabkan tidak ambil kisah menyebabkan aku tidak tahu peraturan yang telah ditetapkan. 

Sampai  sahaja di sana, pelbagai masakan lauk-pauk dan kuih-muih telah dipertandingkan.   Canatik juga cara persembahan mereka.  Sempat juga aku bertanya kepada rakan-rakanku, apabila melihatkan masakan yanag aku minati dan boleh dibuat di rumah suatu  hari nanti.  Jurinya terdiri daripada Presiden Puspanita DBP Pn. Hajah Jaminah binti Hj. Hashim selaku Presiden Puspanita DBP dan juga   isteri kepada Ketua Pengarah DBP, Puan Padilah Haji Ali selaku Timbalan Presiden Puspanita DBP dan juga  Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Pn. Kamariah binti Yusof,   Pengurus Kewangan dan Bekalan Pn. Azah Wahab.
 
Di sini aku paparkan serba sedikit masakan kawan-kawanku  yang telah dipertandingkan untuk tatapan kawan-kawan.






 








  


 


 
 
Ubi rebus ditumbuk dicampur dengan kelapa paruat

 



 
Juri sedang berbincang untuk membuat keputusan


Rabu, 15 Mei 2013

MUSIM PANAS?


Sejak akhir-akhir ini panas baranku semakin menjadi-jadi.  Anak-anakku pula saja mencari sebab untuk membuatku aku naik angin. Sememangnya aku ada membuat beberapa peraturan yang mudah untuk mereka perlu lakukan setiap hari.  Ini adalah untuk membentuk dan menerapkan ke atas mereka sikap  yang lebih berdisiplin. 

Peraturan yang aku buat rasanya tidak membebankan mereka, tetapi perkara yang sama sahaja kerap mereka  terlupa untuk melakukannya.  Di sini aku perturunkan  peraturan yang sudah berulang kali aku sebut dan aku beritahu kepada mereka.

1.  Apabila pergi mandi, baju yang dipakai hendaklah di bawa ke bilik air dan masukkan ke dalam  mesin basuh kain.

2.  Apabila bangun pagi terus pergi ke bilik air, bukan tidur lagi di sofa sebagai transit sebelum ke bilik air

a)   Hendaklah sembahyang subuh dahulu selepas pakai baju sekolah, 

b)   Kemas bilik tidur selepas sembahyang

c)   Ambil sarapan yang ibu siapkan di atas meja

d)   Makan ubat jika ada (ubat lelah/selsema)

e)  Pastikan bekas air minuman yang telah diisi  airnya untuk bekalan hendaklah  masukkan ke dalam beg sekolah atau beg transit apabila siap.

f)   Pastikan semua beg sekolah/baju sekolah yang ibu telah seterika dibawa sebelum keluar dari rumah sebelum pukul 7.00 pagi dan paling lewat  pukul 7.15 pagi.

3. Jangan terus buka television selagi belum mandi.  (Waktu cuti sekolah)

4.  Buku/barang  hendaklah diletakkan di tempat asal setelah menggunakannya. 

5.  Selepas makan hendaklah bawa pinggan  ke singki dan terus basuh pinggan masing-masing.

6.  Sebelum tidur basuh bekas air minuman untuk digunakan keesokan harinya apabila ke sekolah.

Apabila masing-masing tidak membuat salah satu daripada peraturan yang aku tetapkan, menyebabkan aku naik angin, kerana ini akan  menambahkan tugasku yang sedia ada.  Walaupun rumahku tidaklah secantik mana, tapi jika kain baju bersepah-sepah, pinggan mangkuk penuh di singki, boleh menyebabkan berserabut juga kepalaku.  Walaupun begitu, anak-anakku kadang-kala tidak buat juga, apabila disuruh,  baru mereka membuatnya.

Salah satu punca yang menyebabkan aku panas baran adalah disebabkan  Pra-Monopause.  Doktor memaklumkan kepadaku bahawa salah satu simpton Pra-Manopause ialah seseorang akan  berasa panas.  Tetapi tidak semua orang akan mengalaminya.  Kadang kala aku cuba untuk tidak memakan pil hormon ini kerana tidak mahu bergantung terus dengan pil ini,  tetapi apabila aku tidak memakannya, panasku akan datang dan kadang kala ketika berada di dalam pejabat yang mempunyai hawa dingin pun tidak membantu meredakan kepanasanku.   Mukaku akan sentiasa berpeluh dan kadang-kala terasa melekit jika peluh hampir kering.   Doktor menyarankankan kepadaku agar memakan pil hormon yang boleh mengekalkan periodku setiap bulan dan mengelakkan simpton sedemikian.  Pada mulanya aku berasa sedih apabila doctor memaklumkan aku sedang mengalami pra-Monopause.  Balik sahaja dari rumah, aku menangis seolah-olah nilai kewanitaanku akan berkurangan.  Tapi apa pun, itu adalah perjalanan hidup seorang manusia dan aku kena redha ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Ubat hormon