Pada
hari Ahad yang lepas (12 Mei 2013), aku merancang untuk membeli ikan ataupun daging di
pasar NSK Balakong. Pagi itu sempat juga aku membasuh kain, mengemas rumah, dan
membuat sedikit sebanyak kerja dapur. Pada pagi itu aku menanak nasi lebih awal. Selesai kerja rumah, aku mengajak anakku bersarapan di luar.
Semasa
dalam perjalanan ke sana, aku teringin untuk membeli ayam di Batu 9, Cheras,
betul-betul di belakang bangunan Telekom. Aku suka membeli ayam di situ,
kerana ayamnya disembelih oleh orang Melayu dan diproses di situ juga sehingga
kepada dipotong daging ayam itu kepada yang lebih kecil mengikut kehendak pelanggan.
Selepas membeli ayam, aku merancang untuk membuat nasi ayam.
Kemudian aku terus pergi ke pasar NSK Balakong, untuk membeli salad,
timun, buah tomato, cili besar, halia muda dll.
Sampai
sahaja di rumah, aku terus membuat sup ayam. Semasa aku membuat sup
ayam, aku baru teringat yang aku telah menanak nasi awal pagi tadi.
Walaupun begitu, aku teruskan juga niat untuk membuat lauk Nasi
Ayam. Selepas ayam direbus, aku perapkan dengan minyak bijan,
kicap, bawang putih yang telah ditumbuk dan madu. Idea aku
meletakkan minyak bijan adalah disebabkan semasa aku melihat suatu rancangan
masakan di TV. Pengacara itu mengatakan rasa udang akan menjadi lebih sedap dan baunya wangi
apabila diperap dengan minyak bijan terlebih dahulu sebelum digoreng.
Selepas ayam tadi diperap lebih kurang 30 minit, aku kukuskan ayam itu selama
10-15 minit. Akhirnya jadilah Ayam Kukus dan bukan Nasi Ayam
seperti yang dirancangkan.
Selesai masak, aku hidangkan di atas meja dan mengajak anakku makan sekali. Aku bertanya kepada anakku, bagaimana masakan Nasi Ayamku kali ini. Dia mengatakan kali ini kurang sedap kerana nasinya bukan Nasi Ayam, tetapi Ayam Kukusnya amat sedap sekali. Selepas kami semua selesai makan, tinggal sedikit lagi sisa Ayam Kukus itu. Anakku Irfan meminta izin untuk meratah saki baki Ayam Kukus itu. Aku menyuruhnya makan Ayam Kukus itu sehingga habis kerana ingin mencuci pinggan tempat letak Ayam Kukus itu dan untuk membersihkan meja makan.
Ayam Kukus |