Selasa, 14 Mei 2013

Ayam Kukus

Pada hari Ahad yang lepas (12 Mei 2013), aku merancang untuk membeli ikan ataupun daging di pasar NSK Balakong.  Pagi itu sempat juga aku membasuh kain, mengemas rumah, dan membuat sedikit sebanyak kerja dapur.  Pada pagi itu aku menanak nasi lebih awal.   Selesai kerja rumah,  aku mengajak anakku bersarapan di luar.

Semasa dalam perjalanan ke sana, aku teringin untuk membeli ayam di Batu 9, Cheras, betul-betul di belakang bangunan Telekom.  Aku suka membeli ayam di situ, kerana ayamnya disembelih oleh orang Melayu dan diproses di situ juga sehingga kepada  dipotong daging ayam itu kepada yang lebih kecil mengikut kehendak pelanggan.   Selepas membeli ayam, aku merancang untuk membuat nasi ayam.  Kemudian aku terus pergi ke pasar NSK Balakong, untuk membeli salad, timun, buah tomato, cili besar, halia muda dll.

Sampai sahaja di rumah, aku terus membuat sup ayam.   Semasa aku membuat sup ayam, aku baru teringat yang aku telah menanak nasi awal  pagi tadi.  Walaupun begitu, aku teruskan juga niat untuk membuat lauk Nasi Ayam.   Selepas ayam direbus, aku perapkan dengan minyak bijan, kicap, bawang putih yang telah ditumbuk dan madu.   Idea aku meletakkan minyak bijan adalah disebabkan semasa aku melihat suatu rancangan masakan di TV.  Pengacara itu mengatakan rasa udang akan menjadi lebih  sedap dan baunya  wangi apabila diperap dengan minyak bijan terlebih dahulu sebelum digoreng.  Selepas ayam tadi diperap lebih kurang 30 minit, aku kukuskan ayam itu selama 10-15 minit.  Akhirnya jadilah Ayam Kukus dan bukan  Nasi Ayam seperti yang dirancangkan.
Selesai masak, aku hidangkan di atas meja dan mengajak anakku makan sekali.  Aku bertanya kepada anakku, bagaimana masakan Nasi Ayamku kali ini.  Dia mengatakan kali ini kurang sedap kerana nasinya bukan Nasi Ayam, tetapi Ayam Kukusnya amat sedap sekali.  Selepas kami semua selesai makan, tinggal sedikit lagi sisa Ayam Kukus itu.   Anakku Irfan meminta izin untuk meratah saki baki Ayam Kukus itu.  Aku menyuruhnya makan Ayam Kukus itu sehingga habis kerana ingin mencuci pinggan tempat letak Ayam Kukus itu dan untuk membersihkan meja makan.



Ayam Kukus







Tiada ulasan:

Catat Ulasan