Jumaat, 31 Mei 2013

KAWANKU SEORANG AMNESIA



Sejak akhir-akhir ini aku sering teringatkan kawan lamaku.  Tidak aku sangka kawan lamaku itu telah menjadi seorang pengidap penyakit amnesia.  Amnesia ialah seseorang yang telah hilang ingatan ataupun  daya ingatan seseorang telah terganggu yang boleh menyebabkan seseorang tidak ingat langsung perkara yang telah berlaku dan tidak mengenali keluarga mahupun rakan-rakannya. Pada mulanya rakan setugasku di bahagian lain telah memaklumkan kepadaku Pembantu Pejabatnya sering lewat menghantar surat ke bahagian lain dan kadang kala juga sering tersalah hantar surat ke bahagian yang lain.  Pada mulanya aku beranggapan mungkin itu adalah perkara biasa. Mungkin apabila terlalu banyak kerja boleh menyebabkan dia tersilap hantar surat atau dokumen ke bahagian lain.

Suatu hari, aku telah terima surat dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang memaklumkan Pembantu Pejabat tersebut akan ditukarkan  ke bahagian tempatku bertugas. Suka juga dihatiku apabila mendapat berita itu, kerana ia kawan lamaku dan kami pernah bersama-sama berlakon teater di suatu ketika dulu di bawah Badan Kebudayaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga pandai menyanyi dan lagu-lagu yang sering beliau dendangkan adalah lagu Ahmad Jais. Suaranya juga seakan-akan penyanyi tersebut.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari aku telah menyediakan satu surat kepada penulis. Apabila surat itu telah ditandatangan oleh Pengarah Penerbitan, aku pun menguruskan surat tersebut. Salinan surat aku masukkan ke dalam fail, surat asal aku masukkan ke dalam sampul surat. Sampul itu aku letakkan di dalam bakul surat Pembantu Pejabat untuk direkodkan sebelum menghantar surat tersebut ke Bahagian Pentadbiran Am. untuk urusan pos.


Tiba-tiba terdengar Pembantu Pejabat tersebut berdiri sambil mamanggil namaku dan bertanya kepadaku sama ada surat itu perlu direkodkan dan dihantar ke Bahagian Pentadbiran Am untuk urusan pos. Lalu aku pun menganggukkan kepala dengan memberi tanda isyarat betul bahawa surat itu perlu diposkan. Tidak sampai 30 minit kemudian, beliau bertanya lagi, benarkah surat itu untuk dihantar ke Bahagian Pentadbiran Am bagi urusan pos. Sekali lagi aku mengangguk tanda betul dan berkata "Ya, untuk direkod dan dihantar ke Bahagian Pentadbiran Am". Tidak sampai 20 minit, beliau datang kepadaku dan bertanya lagi soalan yang sama dan aku masih lagi bersabar dan memberikan jawapan yang sama juga. Sehinggalah beliau bertanya  kepadaku buat kali ke berapa pun aku sudah tidak ingat lagi sama ada surat ini hendak dibuka atau tidak, lantas aku terus menjawab tetapi tertinggi sedikit nadaku dan aku mengatakan kepadanya "Surat ini awak rekod ke dalam buku rekod hantar tangan, selepas itu awak hantar ke Bahagian Pentadbiran Am di tingkat 14 untuk mereka hantar ke Pejabat Pos nanti.
 
Selepas itu dia tidak bertanya lagi, mungkin kerana malu atau takut aku marah kepadanya, aku sendiri pun tidak tahu. Waulahuallam. Tetapi yang melucukan hatiku, rupa-rupanya dia telah bertanyakan soalan yang sama pada penyeliaku pula beberapa kali sebagaimana ia telah bertanya kepadaku sebelum ini. Tetapi penyeliaku menjawab dengan lembut dan sabar kerana ia mengetahui akan masalah sikap pelupa kawanku itu.

Ada satu lagi cerita tentang kawanku itu.  Satu petang, beliau  telah diberi tugasan oleh bosku untuk membuat salinan fotostat bersaiz A3 setebal  lebih kurang 50 -60 helai.  Semasa aku hendak pergi ke bilik air, sambil berjalan aku nampak beliau sedang membuat kerja fotostat bahan tersebut.  Apabila aku balik dari bilik air, aku melihat hanya 2-3 helai sahaja yang baru dibuatnya.  Selebihnya dia asyik semak dokumen yang diberi oleh bosku itu sambil membelek-belek dokumen yang diberikan oleh bosku itu.
Jam sudah menunjukkan 10 minit lagi  5.30 petang.  Tidak sampai hati aku dibuatnya untuk membiarkannya begitu. Lalu aku meminta izinnya dengan mengatakan biar aku tolong membuat salinan tersebut dan dia hanya perlu stepler sahaja dokumen yang telah aku fotostatkan itu.  Akhirnya siap juga bahan yang diperlukan oleh bosku itu.  Jika aku tidak menolongnya, agaknya pukul berapa dia hendak menghabiskan kerjanya dan bila pula dia akan pulang ke rumahnya.  Tapi sampai bila dia perlu dibantu setiap kali untuk menjalankan tugasannya?

Semasa Program Penyusunan Semula Organisasi DBP, sekali lagi kawanku telah ditukarkan ke bahagian yang lain dan aku pun tidak bertanya khabar tentang dirinya  lagi kerana jarang bertemu. Suatu hari aku dikejutkan berita tentang kawanku itu  tidak dapat pulang ke rumah kerana tidak tahu jalan pulang ke rumahnya. Memandangkan hari sudah larut malam, anaknya telah menelefon ayahnya. Nasib baik kawanku menjawab dia berada di padang tempat menyambut kemerdekaan. Sudah tentulah  di Dataran Merdeka. Nasib baik anak-anaknya dapat berjumpa dengan ayahnya itu. Selepas kejadian itu kawanku telah dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya dan telah diberikan cuti sakit. Ramai kawan-kawan telah pergi ke rumahnya, tetapi sayang sekali kerana ia tidak lagi mengenali kawan-kawannya. Sedih hatiku apabila mengetahui apa yang telah berlaku kepada kawanku. Aku berdoa agar ia kembali pulih sekurang-kurangnya dapat menjalani suruhan Allah. Amin.

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan