Khamis, 9 Mei 2013

Bumbung Tandasku, Lantai Bilik Airnya

Sabtu (4/5/2013)

Memandangkan baju tidur anakku banyak yang  sudah senteng, aku berhasrat untuk membawa anakku ke SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli baju tidur mereka.   Pagi itu aku mengemas rumah, membasuh dan menyidai baju lebih awal, kemudian mengajak anak-anakku minum di luar.  Sepanjang perjalanan ke SOGO, perjalananan kami  berjalan dengan lancar kerana jalan begitu lengang, kemungkinan ramai yang balik kampung untuk mengundi pada hari 5/5/2013 (Ahad).  Sampai sahaja di sana, aku dapati level GF telahpun penuh walaupun jam menunjukkan pukul 10.30 pagi.  Aku terus mencari parking di Level B1 yang kebanyakannya masih kosong.   Sampai di sana aku terus menaiki lift dan menuju ke Tingkat 6, kerana di situ ada Cafeteria.

 Selepas kami bersarapan, aku terus menuju ke tingkat 5, tempat baju kanak-kanak.   Setelah aku membelek dan mengacukannya kepada anak-anakku, akhirnya aku mengambil dua pasang baju tidur.   Dua helai baju tidur anak-anakku berjumlah RM 47.00.  Selepas itu aku berjalan di sekitar situ untuk mencari apa yang berkenan.  Malangnya sehingga akhir aku tidak membeli satu apa pun untuk diriku, dan aku terus mengajak anak-anakku pulang.
Sampai sahaja dirumah, apabila  aku membuka pintu rumahku,  aku terlihat di tepi pintu tandasku basah.  Sambil berjalan  aku merungut dan membebel mungkin semasa anak-anakku mandi, mereka tidak menutup pintu dengan betul.   Tapi aku rasa tak kena apabila melihatkan dalam bilik airku bersepah-sepah dan aku terlihat  di atas saluran air tingkat atas berlubang dan kelihatan sampah seperti rambut tersangkut di atas saluran air di atas bumbung bilik air.   Aku terus menelepon suamiku dan memintanya segera pulang.   Hatiku tidak sabar menunggu suamiku pulang, lantas aku terus pergi ke rumah tingkat atas yang betul--betul kedudukannya berada di atas rumahku.  Penghuni rumah tersebut berugama Hindu.  

Aku: "Hello!, Hello!"

 Perempuan India:  "Ya, ada apa?"

 Aku:   "Awak ada cuci bilik air ka?  

 Perempuan India:  "Tak ada.  Kenapa?"

 Aku:  "Apa pasal itu saluran air atas bumbung bilik air saya punya tutup sudah jatuh.  Awak punya sampah sudah jatuh dalam bilik air saya tau"  Awak ada jolok-jolok tempat air jatuh bawah ka?"

Aku meninggikan sedikit suara kerana aku rasa amat penat sekali apabila sampai di rumah, bilik air aku telah jadi sedemikian rupa.

 Perempuan India:  "Tak adalah, saya mandi pakai bilik air yang dalam bilik punya"  Ini bilik air saya tidak guna"

 Aku:  "Habis itu sampah sapa punya?  Atas mana lagi ada  rumah?  Sekarang awak turun, awak tengok sendiri apa sudah jadi pada bilik air saya"

Aku terpaksa menggunakan lenggok India agar dia faham apa yang aku cakap.  Aku berjalan menuju ke tangga dan aku lihat perempuan itu ikut sekali.    Sampai sahaja di bilik airku, aku terus  menunjukkan bilik airku yang bersepah sambil bersuara lagi

Aku: "Awak tengok, ini sampah sapa punya?  Saya punya ka?  Saya tidak mahu pegang awak punya sampah,  Awak ambil itu sampah, sebab saya tengok pun rasa mahu muntah".

 Perempuan India: " Ayoyo. ini macam ka?"

 Mata perempuan India itu memerhatikan sekeling bilik airku yang berkecah . Aku terus mengambil plastik hitam dan memberikannya kepada  perempuan India itu dan berharap agar dia mengambil sampah di atas saluran air itu.  Kemudian aku memberikannya kerusi kerana sampah itu agak tinggi untuk dicapai.  Setelah ia mengambil sampah di atas saluran air itu, perempuan India itu pun terus balik ke rumahnya.

 Tiba-tiba aku teringat yang aku belum lagi membertahu perempuan India itu supaya jangan menggunakan bilik air sehingga bilik airku siap dibaiki.  Lantas aku menyuruh anak-anakku pergi ke rumah India tersebut supaya membertahunya agar jangan menggunakan bilik air itu.

Apabila suamiku pulang, lantas aku menyuruhnya pergi ke rumah India tersebut kerana suami India tersebut ada di rumah.   Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki India bersama suamiku masuk ke dalam rumahku.    Matanya melihat bilik airku yang bersepah dengan saluran paip air yang masih lagi berlubang.  Semasa ia dan suamiku melihat keadaan bilikku, tiba-tiba air jatuh dari atas.  Aku menjadi bertambah geram, lantas terus aku bersuara.

Aku: "Tengok!  tadi saya sudah cakap jangan guna itu bilik air sehingga bilik air saya sudah repair.  Tapi masih mahu guna juga".

 Tiba-tiba dia memanggil isterinya dengan kuat dan bertutur dalam bahasa Tamil.   Mungkin memberitahu supaya jangan guna bilik air mereka, agaknya . Waulahualam. 

 Suamiku menyuruhnya memasang kembali penutup yang telah jatuh, kerana penutupnya masih elok, mungkin disebabkan sampah yang berat menyebabkan penutup itu jatuh ke bawah.   Sekali lagi kerusi di meja makanku menjadi mangsa.  Selepas lelaki India itu memasang penutup saluran itu, dia memberiku nombor telefon jika ada sebarang masalah lagi.   Aku terus mencatatnya kerana  walaupun penutup itu telah dipasang kembali, tetapi tidak tentu lagi dan mungkin ada kerosakan lain pula yang akan datang.

Aku memaklumkan kepada suamiku, terdapat  air yang masih jatuh ke bawah.   Suamiku membetulkan kembali penutup itu kerana lelaki India itu tidak memasangnya dengan betul.  Aku juga meminta suamiku meletakkan wax agar tidak ada setitik air yang jatuh lagi ke dalam bilik airku, kerana aku tidak mahu ada sebarang najis mahupun kekotoran yang jatuh ke dalam  bilik airku.

Selepas itu, aku terus  membersihkan bilik airku dengan meletakkan pencuci dan pewangi untuk memastikan bilik airku betul-betul bersih daripada sebarang kekotoran dari atas.   Aduhhh!, ketika itu aku berasa amat penat sekali  kerana tadi aku cuma makan mee sup sahaja (Itupun aku tidak lalu untuk menghabiskannya  kerana rasanya tidaklah  sedap sangat).


Peluh memenuhi wajahku dan jatuh ketika aku membersihkan bilik air.  Sambil aku membersihkan bilik airku, aku berdoa dalam hati  "Ya Allah, ya tuhanku,  jangan kau beratkan aku sesuatu yang  aku tidak mampu untuk menanggungnya, kerana aku ini orang yang lemah, Aminnn"

Jumaat, 3 Mei 2013

Amalan 5S

 3 Mei 2013 (Jumaat)

Minggu lepas Bhg. Dasar dan Perancangan Strategik telah menguruskan satu lawatan  yang disertai oleh pentadbir bahagian ke Kementerian Pertahanan Malaysia, di Mindeff.   Aku sememangnya tidak tahu langsung tentang apakah yang dimaksudkan Amalan 5S.  Walaupun pernah diadakan ceramah tentang Amalan 5S di Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi aku tidak berkesempatan untuk mendengar ceramah tersebut kerana ada urusan lain. Seramai 25 orang staf DBP yang telah ikut serta dalam  lawatan tersebut.  Kami menaiki bas Dewan Bahasa dan Pustaka,  dan lebih kurang jam 10.45 pagi kami pun bertolak ke sana. 
Aku pernah bersekolah di Sekolah Menengah Padang Tembak dari tahun 1974 - 1978.  Kedudukan sekolah aku betul-betul di belakang  Kementerian Pertahanan Malaysia.   Boleh dikatakan setiap pagi  aku dan kawan-kawanku Rosminah dan Julia (kawan karibku) akan menyelelusuri jalan di dalam Kementerian Pertahanan untuk ke sekolah.  Kadang kala semasa pergi ke sekolah, kami  terserempak dengan sekumpulan askar sedang berlari mengikut tempoh sambil menyanyi lagu Inilah Barisan Kita.  Semasa itu tiada bangunan tinggi seperti yang aku lihat sekarang.
Untuk masuk ke Kementerian Pertahanan amatlah sukar kerana ia merupakan tempat penyimpanan data keselamatan negara.   Sekiranya tidak ada sebarang urusan , kita tidak boleh masuk sesuka hati.   Memandangkan  kami  adalah tetamu mereka dapatlah kami  masuk ke  situ dengan  mudah.    Sampai sahaja di sana aku amat terpegun kerana terlalu banyak perubahan yang telah berlaku.  Bangunannya yang canggih telah didirikan di situ yang sebelum ini, kawasan itu  adalah  quarters askar yang belum berkahwin.  Aku berdiri dan memerhati kawasan di sekitar situ dan  jalan yang pernah aku lalui 35 tahun dahulu,   seolah-olah tempat itu adalah tempat baru yang belum pernah aku lalui sebelum ini.
Sampai sahaja di sana, kami disambut dengan baik dan mesra oleh pihak Pentadbiran Kementerian Pertahanan Malaysia.  Kami diberi penerangan ringkas tentang amalan 5S yang telah mereka usahakan sehingga mereka telah berjaya mendapat beberapa kali anugerah dari pihak Mampu   Kami juga telah diberi kebenaran untuk melawat ruang pejabat dan sudut amalan 5S mereka.    Setiap stesen kerjanya yang kami lihat amat bersih dan lapang.  Di  atas meja hanya ada fail yang  dan juga sebatang pen yang sedang digunakan.  Yang paling penting sekali, di atas mahupun di bawah meja kosong kerana tidak ada sebarang  barang rasmi ataupun peribadi.  Setelah aku melihat kesan amalan 5S ini barulah aku faham mengapa setiap staf perlu memahami keperluan 5S ini.   Tetapi untuk menjayakan amalan 5S ini yang paling  utama  ialah komitmen dari semua staf dan juga pelbagai pihak  diperlukan.  Bagi kawan-kawan yang ingin mengetahui tentang amalan 5S bolehlah klik di sini  Amalan 5S  dan panduan 5S boleh klik di sini Panduan Amalan 5S

Di sini saya sertakan gambar-gambar yang boleh dikongsi bersama jika kita hendak menjayakan Amalan 5S ini.  





Kawan-kawan yang turut serta dalam lawatan ke Kementerian Pertahanan di Mindeff baru-baru ini....


Objektif 5S dipaparkan di sudut Amalan 5S supaya dapat diterapkan kepada semua staf setiap masa.



 Cap getah yang boleh digunakan oleh semua staf diletakkan pada satu tempat khas



 Senarai cap getah yang dibuat pernomboran  dan dibukukan untuk memudahkan pencarian cap getah oleh staf

 Meja sisi dilabelkan mengikut keperluan.  Tingkat satu untuk penyimpanan alat tulis, tingkat dua untuk penyimpanan dokumen dan tingkat tiga untuk penyimpanan barang peribadi. 




Carta kehadiran staf yang menunjukkan bilangan stafa yang bertugas pada hari itu. 




Pelbagai carta kehadiran staf jika ada sesiapa yang berminat untuk membuatnya.


Label loceng di kaunter



Tatacara penggunaan mesin faks juga diletakkan  untuk memudahkan staf yang tidak pernah menggunakan mesin faks



Label kedudukan lampu juga diletakkan di suis lampu.   Label ini bagus dibuat lebih-lebih lagi aras yang berkongsi dengan bahagian lain.




Setiap meja staf mempunyai tanda nama dan mempunyai waktu peringkat masing-masing.  Staf berkenaan boleh menandakan apakah aktiviti yang sedang mereka lakukan.
Gambar yang terakhir di atas merupakan salah satu kreativiti yang amat saya sukai dan mungkin satu hari nanti saya akan buat sedemikian di tempat saya kelak. 

(Gambar akan saya masukkan dari semasa ke semasa kerana  ada masalah teknikal)
  
 Usaha  saya ke  arah Amalan 5S


Balik sahaja dari lawlatan itu, aku mula memikirkan apakah perkara yang paling mudah yang boleh aku lakukan untuk menjayakan Amalan 5S ini di bahagianku.  Setelah hampir duaminggu,aku telah mengumpulkan semua cap getah.  Kemudian aku senaraikan semua  cap getah itu dan aku satukan mana yang boleh digunapakai oleh semua staf.  Aku membuat pernomboran setiap cap getah itu dan aku bukukan  bagi urusan pencarian cap getah.  Cara ini juga untuk mengelakkan penempahan cap getah yang berulang dan dapat menjimatkan kos.  Insyaalah jika berkesempatan, aku ingin pula membuat carta kehadiran di papan tanda di Pentadbiran Jabatan Penerbitan kelak.













<script async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js"></script>
<ins class="adsbygoogle"
     style="display:block; text-align:center;"
     data-ad-layout="in-article"
     data-ad-format="fluid"
     data-ad-client="ca-pub-0431987142080099"
     data-ad-slot="7242059337"></ins>
<script>
     (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
</script>


Sabtu, 27 April 2013

Kolagen Rumpai Laut


27/4/2013 (Sabtu) 
Sudah dua minggu aku terima rumpai laut daripada adik iparku di Kuantan melalui pos laju. Rumpai laut yang diberikan oleh adik iparku itu berwarna kuning. Baru kelmarin aku merebusnya mengikut cara yang telah ditetapkan. Dengan api yang perlahan, aku mengacau rebusan rumpai laut itu sehingggalah ia menjadi air likat seperti kanji. Setelah semuanya telah hancur, aku pun menapis air rebusan rumpai laut itu yang telah menjadi air kanji yang pekat ke dalam satu bekas.  Rumpai laut mempunyai perlbagai khasiat. Jika anda ingin mengetahui khasiat rumpai laut bolehlah baca di sini khasiat rumpai laut.

Sementara menunggu air rumpai laut itu sejuk, aku membuat kerja-kerja rumah yang lain. Bahan serdak tapisan itu pula aku letakkan di satu bekas yang lain kerana boleh dibuat mask muka bila aku berkelapangan kelak. Kemudian aku kembali semula ke rebusan rumpai laut tadi. Aku lihat rumpai laut itu seperti agar-agar sahaja. Setelah agak sejuk aku simpan ke dalam peti sejuk.

Keesokan paginya aku mengambil dua sudu rumpai laut itu dan meletakkannya ke dalam cawan. Aku berikan kolagen rumpai laut itu kepada suamiku untuk ia merasainya sebelum aku sendiri merasainya kemudian. Aku memaklumkan kepada suamiku yang ini adalah kolagen rumpai laut yang mana salah satu khasiatnya ialah boleh mengurangkan kadar gula dalam darah.  Suamiku adalah seorang pengidap kencing manis. Suamiku ini memang tidak kisah jika aku memberinya ubat, jika ia baik untuk dirinya. Aku memberitahu suamiku kolagen itu boleh dicampurkan dengan jus Sunquick untuk mengelakkan rasa hanyir. Tetapi suamiku terus memakannya dan ia mengatakan rasanya seperti agar-agar tetapi rasanya agak tawar.

Sehingga hari ini, aku belum berkesempatan lagi untuk memakan kolagen itu. Macam mana hendak makan kolagen itu, kerana setiap pagi aku asyik sibuk menyediakan sarapan pagi anak-anakku sebelum mereka pergi ke sekolah. Yang paling susah sekali ialah untuk membangunkan anakku yang kedua. Liat sungguh untuknya bangun pagi. Kadang kala stress juga aku dibuatnya. Setiap pagi aku kena siapkan sarapan mereka, disamping itu memastikan mereka mesti membawa bekalan air minum untuk sekolah pagi dan petang. Sebelum pergi, aku kena pastikan baju untuk sekolah sesi petang juga dibawa bersama untuk diletakkan di Sekolah Agama kerana di sekolah tersebut mempunyai kemudahan transit. Anak sulungku sekolah kebangsaan di waktu pagi, anakku yang kedua pula sekolah agama di waktu pagi. Setiap pagi aku mesti menghantar anakku yang bersekolah kebangsaan dahulu, sebelum menghantar anakku yang kedua di sekolah agama. Walau pun penat, tapi aku rasa puas kerana dapat menguruskan keperluan anak-anakku di waktu pagi. Aku pernah terbaca dalam satu artikel,  murid yang mengambil sarapan pagi lebih mudah untuk menerima pelajaran dengan baik.  Aku berharap penat lelahku ini dapat menjadikan mereka, orang  yang berilmu dan anak yang soleh. Insyaallah...


Hari ini aku nekad untuk cuba memakan kolagen itu. Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan tiada kolegen pada rumpai laut, tetapi banyak maklumat yang baik telah aku peroleh daripada mereka yang telah mencubanya. Pada pandanganku, setiap yang Allah jadikan sudah tentu ada khasiatnya dan kita hanya berusaha untuk mencuba selagi ia tidak menyalahi akidah dan ia halal. Waulahualam...

Rumpai Laut

Jumaat, 26 April 2013

Benjolan Kecil di Ketiak

Dua minggu yang lepas, aku telah membaca artikel tentang kolagen rumpai laut. Pelbagai khasiat yang dipaparkan dalam artikel tersebut. Kebetulan pula adik iparku yang berada di Kuantan, turut mempromosikan pelbagai produk di facebooknya, antaranya ialah kolagen rumpai laut. Aku terus bertanya kepada adikku dan ingin memiliki satu untuk mencubanya. Tetapi adik iparku dengan baik hati telah menghantar kepadaku secara pos laju dengan percuma sahaja untuk aku memcubanya.

Kebetulan semasa itu, di ketiakku ada benjolan kecil dan aku berasa sakit jika aku menyentuhnya. Aku memaklumkan kepada kakakku dan adik iparku. Mereka menyuruh aku membuat pemeriksaan kerana benjolan kecil di ketiak merupakan tanda-tanda awal penyakit kanser payu dara. Adik iparku juga memaklumkan, kolagen rumpai laut ini tidak boleh dimakan sekiranya seseorang mempunyai penyakit kanser. Hatiku amat bimbang, lantas aku mencari maklumat benjolan kecil di ketiak dalam internet. Pelbagai maklumat yang aku peroleh dan ada yang mengatakan berkemungkinan bengkak kelenjar dan ada juga yang mengatakan kanser.

Dalam dua tiga hari itu hatiku tidak tenang dan sentiasa berasa dalam keadaan bimbang jika ia betul-betul berlaku ke atas diriku. Setiap kali aku mandi, aku akan membersihkan ketiakku dengan lembut sambil membaca salawat nabi sebanyak-banyaknya serta berdoa kepada Allah s.w.t. agar aku dijauhkan dari penyakit yang amat ditakuti oleh setiap wanita. Aku bertanya kepada kawan-kawanku di pejabat. Mereka menyarankan kepadaku agar pergi ke Klinik Medic di Bangunan KWSP kerana doktor di situ pakar dalam penyakit yang sedemikian. Aku telah telefon ke klinik tersebut untuk membuat temujanji. Jururawat di situ memaklumkan doktor Chong (doktor pakar yang dimaksudkan) bertugas di klinik tersebut pada hari Isnin, Rabu dan Khamis.

Sementara menunggu hari Rabu, Alhamdulillah benjolan di ketiakku semakin mengecil dan mengecil. Sehinggalah pada hari Rabu benjolan kecil di ketiakku akhirnya telah tiada. Walaupun begitu aku teruskan juga niatku untuk pergi ke klinik tersebut bagi mengenalpasti apakah penyakit tersebut. Malangnya Doktor Chong mengatakan aku tidak mempunyai sebarang tanda-tanda penyakit kanser ataupun bengkak kelenjar. Aku bersyukur kepada Allah kerana terlepas dari penyakit yang boleh membawa maut. Walau bagaimanapun, aku tetap akan pergi juga ke klinik tersebut sekiranya benjolan kecil terjadi lagi pada diriku di kemudian hari. Kali ini aku akan memastikan aku pergi ke klinik tersebut semasa benjolan itu masih bengkak. Insyaallah....





Khamis, 25 April 2013

Rumahku Syurgaku

25/4/2013 (Khamis)



25/4/2013 (Khamis)

Yaa..Hoo!..... Hari ini merupakan hari pembayaran gaji untuk staf Dewan Bahasa dan Pustaka. Bolehlah aku merancang apa aktiviti yang hendak aku lakukan bersama keluarga di hujung minggu ini. Tetapi pada hari Sabtu ini, anakku Idzham ada kelas tambahan kerana tahun ini anakku akan mengambil peperiksaan UPSR. Aku cuma boleh pergi beriadah selepas anakku balik dari sekolah.
  















Hari ini ada ceramah agama yang disampaikan oleh seorang ustaz bernama Suhaimi Abdul Wakid bertajuk Rumahku Syurgaku atau Baiti Jannati dalam Bahasa Arab di Dewan Seminar., Dewan Bahasa dan Pustaka.  Terpanggil juga untuk pergi mendengar ceramah apabila melihat tajuk ceramah tersebut di papan tanda.  Mungkin banyak manfaat yang boleh diambil untuk diriku dan juga keluargaku.   Alhamdulillah akhirnya dengan izin Allah,  dapat juga aku menghadirkan diri dalam majlis ceramah agama tersebut.

Dengan cara penyampaiannya yang bersahaja, tidak kering gusi kami semua ketawa apabila mendengar kisah pahit mahit tapi lucu bila beliau bercerita tentang pengalamannya semasa beliau didatangi orang ramai semasa dalam menjalankan perkhidmatannya sebagai Pegawai Agama di pejabatnya.  

Beliau juga menceritakan antara lelaki dan perempuan sama sahaja nakalnya, cuma mungkin lelaki lebih sedikit nakal daripada perempuan.   Ada juga kisah isteri dipukul dan dipijak oleh suami sedangkan isterinya baru  tiga hari melahirkan anak disebabkan suami tidak dapat duit yang diminta kerana ketagihan berjudi.

Cerita yang paling pelik tapi lucu, apabila beliau menceritakan ada juga suami yang dipukul isteri dengan batang kayu mop.  Selalu yang kita dengar suami memukul isteri, tetapi yang ini sebaliknya.  Ada juga  suami yang kena terajang oleh isteri sampai patah tulang selangka.  Walau apa juga cerita yang disampaikan dalam bentuk lucu tapi bermakna, eloklah  kita bermunasabah kepada diri sendiri agar tidak berlaku kepada kita pula.  Subhanaullah....Simpang malaikat 44, kata orang.

Cerita ustaz yang paling dahsyat, apabila ustaz itu memberitahu ada isteri yang menggunakan sihir terhadap suaminya (rasanya tidak perlu diceritakan di sini kerana takut pula menjadi ikutan kepada orang lain).   Kadangkala aku rasa terharu, sedih apabila mendengar penjelasan ustaz tentang hak isteri dan bagaimana untuk menjadi isteri yang solehah.  Aku berdoa agar aku juga dapat menjadi isteri yang solehah untuk suamiku dan ibu yang baik untuk anak-anakku.  Amin...

Anak-Anakku







Rabu, 24 April 2013

Ahli Puspanita

PENGENALAN

24 April 2013 (Rabu)

Aku begitu terpanggil untuk menyertai  pertandingan membuat blog yang dianjurkan oleh pihak PUSPANITA DBP apabila aku menerima   e-mel dari PUSPANITA DBP pada 23 April 2013.   Setelah difikirkan apakah tema yang akan aku coretkan di blog ini yang bersesuaian dengan tajuk blogku iaitu Lembut Wanita, lantas aku membayang satu tema yang berpaksikan wanita yang berkerjaya kerana PUSPANITA merupakan satu kelab wanita yang bekerja atau lebih khusus bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Memandangkan warna tema PUSPANITA adalah warna ungu, aku akan gunakan sebanyak mungkin warna ungu agar lebih menepati dan selari dengan kehendak PUSPANITA.
Di sini ingin aku nyatakan  apa yang dimaksudkan atau definasi Pegawai Kerajaan dalam Perintah Am Bab A.
Pegawai ertinya semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak.
Pelantikan ertinya pelantikan ke dalam perkhidmatan awam oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak, termasuklah pelantikan kali pertama dan pelantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mana-mana skim perkhidmatan.
Puspanita ialah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia dengan nama singkatannya PUSPANITA, telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali. Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli.
Suri bermaksud wanita yang mempunyai suami yang bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Bermakna isteri kepada pegawai kerajaan  juga layak untuk menjadi ahli PUSPANITA.  Tetapi malangnya ramai di kalangan mereka tidak tahu atau maklumat tidak sampai kepada mereka atau berkemungkinan suami mereka juga tidak tahu tentang perkara ini. 
Banyak faedah yang boleh kita nikmati dan kecapi dengan menjadi ahli PUSPANITA, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai anak yang cemerlang dalam pelajaran kerana ganjaran pasti menanti untuk anak-anak kita.  Yang paling penting sekali jika anak kita dapat memasuki menara gading, PUSPANITA juga dapat memberi sedikit bantuan dalam bentuk wang tunai. Walau apa juga pun niat kita  menjadi ahli PUSPANITA, tetapi yang paling penting kita juga dapat berkenalan dengan ahli-ahli PUSPANITA yang berada di bawah  Kementerian Pelajaran ketika Mesyuarat Agung diadakan setiap tahun.
Dengan yuran yang dikenakan hanya RM10.00 setahun anda boleh  menjadi ahli PUSPANITA dan dengan bayaran yuran sekali sebanyak RM100.00 anda layak menjadi ahli seumur hidup.  Kepada pegawai yang baru dilantik sebagai penjawat awam, marilah menjadi ahli PUSPANITA bersama-sama dan anda boleh menikmati pelbagai faedah dan ganjaran dari semasa ke semasa dengan menjadi ahli PUSPANITA.