Khamis, 25 April 2013

Rumahku Syurgaku

25/4/2013 (Khamis)



25/4/2013 (Khamis)

Yaa..Hoo!..... Hari ini merupakan hari pembayaran gaji untuk staf Dewan Bahasa dan Pustaka. Bolehlah aku merancang apa aktiviti yang hendak aku lakukan bersama keluarga di hujung minggu ini. Tetapi pada hari Sabtu ini, anakku Idzham ada kelas tambahan kerana tahun ini anakku akan mengambil peperiksaan UPSR. Aku cuma boleh pergi beriadah selepas anakku balik dari sekolah.
  















Hari ini ada ceramah agama yang disampaikan oleh seorang ustaz bernama Suhaimi Abdul Wakid bertajuk Rumahku Syurgaku atau Baiti Jannati dalam Bahasa Arab di Dewan Seminar., Dewan Bahasa dan Pustaka.  Terpanggil juga untuk pergi mendengar ceramah apabila melihat tajuk ceramah tersebut di papan tanda.  Mungkin banyak manfaat yang boleh diambil untuk diriku dan juga keluargaku.   Alhamdulillah akhirnya dengan izin Allah,  dapat juga aku menghadirkan diri dalam majlis ceramah agama tersebut.

Dengan cara penyampaiannya yang bersahaja, tidak kering gusi kami semua ketawa apabila mendengar kisah pahit mahit tapi lucu bila beliau bercerita tentang pengalamannya semasa beliau didatangi orang ramai semasa dalam menjalankan perkhidmatannya sebagai Pegawai Agama di pejabatnya.  

Beliau juga menceritakan antara lelaki dan perempuan sama sahaja nakalnya, cuma mungkin lelaki lebih sedikit nakal daripada perempuan.   Ada juga kisah isteri dipukul dan dipijak oleh suami sedangkan isterinya baru  tiga hari melahirkan anak disebabkan suami tidak dapat duit yang diminta kerana ketagihan berjudi.

Cerita yang paling pelik tapi lucu, apabila beliau menceritakan ada juga suami yang dipukul isteri dengan batang kayu mop.  Selalu yang kita dengar suami memukul isteri, tetapi yang ini sebaliknya.  Ada juga  suami yang kena terajang oleh isteri sampai patah tulang selangka.  Walau apa juga cerita yang disampaikan dalam bentuk lucu tapi bermakna, eloklah  kita bermunasabah kepada diri sendiri agar tidak berlaku kepada kita pula.  Subhanaullah....Simpang malaikat 44, kata orang.

Cerita ustaz yang paling dahsyat, apabila ustaz itu memberitahu ada isteri yang menggunakan sihir terhadap suaminya (rasanya tidak perlu diceritakan di sini kerana takut pula menjadi ikutan kepada orang lain).   Kadangkala aku rasa terharu, sedih apabila mendengar penjelasan ustaz tentang hak isteri dan bagaimana untuk menjadi isteri yang solehah.  Aku berdoa agar aku juga dapat menjadi isteri yang solehah untuk suamiku dan ibu yang baik untuk anak-anakku.  Amin...

Anak-Anakku







Rabu, 24 April 2013

Ahli Puspanita

PENGENALAN

24 April 2013 (Rabu)

Aku begitu terpanggil untuk menyertai  pertandingan membuat blog yang dianjurkan oleh pihak PUSPANITA DBP apabila aku menerima   e-mel dari PUSPANITA DBP pada 23 April 2013.   Setelah difikirkan apakah tema yang akan aku coretkan di blog ini yang bersesuaian dengan tajuk blogku iaitu Lembut Wanita, lantas aku membayang satu tema yang berpaksikan wanita yang berkerjaya kerana PUSPANITA merupakan satu kelab wanita yang bekerja atau lebih khusus bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Memandangkan warna tema PUSPANITA adalah warna ungu, aku akan gunakan sebanyak mungkin warna ungu agar lebih menepati dan selari dengan kehendak PUSPANITA.
Di sini ingin aku nyatakan  apa yang dimaksudkan atau definasi Pegawai Kerajaan dalam Perintah Am Bab A.
Pegawai ertinya semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak.
Pelantikan ertinya pelantikan ke dalam perkhidmatan awam oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak, termasuklah pelantikan kali pertama dan pelantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mana-mana skim perkhidmatan.
Puspanita ialah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia dengan nama singkatannya PUSPANITA, telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali. Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli.
Suri bermaksud wanita yang mempunyai suami yang bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Bermakna isteri kepada pegawai kerajaan  juga layak untuk menjadi ahli PUSPANITA.  Tetapi malangnya ramai di kalangan mereka tidak tahu atau maklumat tidak sampai kepada mereka atau berkemungkinan suami mereka juga tidak tahu tentang perkara ini. 
Banyak faedah yang boleh kita nikmati dan kecapi dengan menjadi ahli PUSPANITA, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai anak yang cemerlang dalam pelajaran kerana ganjaran pasti menanti untuk anak-anak kita.  Yang paling penting sekali jika anak kita dapat memasuki menara gading, PUSPANITA juga dapat memberi sedikit bantuan dalam bentuk wang tunai. Walau apa juga pun niat kita  menjadi ahli PUSPANITA, tetapi yang paling penting kita juga dapat berkenalan dengan ahli-ahli PUSPANITA yang berada di bawah  Kementerian Pelajaran ketika Mesyuarat Agung diadakan setiap tahun.
Dengan yuran yang dikenakan hanya RM10.00 setahun anda boleh  menjadi ahli PUSPANITA dan dengan bayaran yuran sekali sebanyak RM100.00 anda layak menjadi ahli seumur hidup.  Kepada pegawai yang baru dilantik sebagai penjawat awam, marilah menjadi ahli PUSPANITA bersama-sama dan anda boleh menikmati pelbagai faedah dan ganjaran dari semasa ke semasa dengan menjadi ahli PUSPANITA.