27/4/2013 (Sabtu)
Sudah dua minggu aku
terima rumpai laut daripada adik iparku di Kuantan melalui pos laju.
Rumpai laut yang diberikan oleh adik iparku itu berwarna kuning. Baru kelmarin aku merebusnya mengikut cara yang
telah ditetapkan. Dengan api yang perlahan, aku mengacau rebusan rumpai
laut itu sehingggalah ia menjadi air likat seperti kanji. Setelah semuanya
telah hancur, aku pun menapis air rebusan rumpai laut itu yang telah menjadi
air kanji yang pekat ke dalam satu bekas. Rumpai laut mempunyai perlbagai
khasiat. Jika anda ingin mengetahui khasiat rumpai laut bolehlah baca di sini khasiat rumpai laut.
Sementara menunggu air
rumpai laut itu sejuk, aku membuat kerja-kerja rumah yang lain. Bahan serdak
tapisan itu pula aku letakkan di satu bekas yang lain kerana boleh dibuat mask
muka bila aku berkelapangan kelak. Kemudian aku kembali semula ke rebusan
rumpai laut tadi. Aku lihat rumpai laut itu seperti agar-agar sahaja. Setelah
agak sejuk aku simpan ke dalam peti sejuk.
Keesokan paginya aku
mengambil dua sudu rumpai laut itu dan meletakkannya ke dalam cawan. Aku
berikan kolagen rumpai laut itu kepada suamiku untuk ia merasainya sebelum aku
sendiri merasainya kemudian. Aku memaklumkan kepada suamiku yang ini adalah
kolagen rumpai laut yang mana salah satu khasiatnya ialah boleh mengurangkan
kadar gula dalam darah. Suamiku adalah seorang pengidap kencing manis.
Suamiku ini memang tidak kisah jika aku memberinya ubat, jika ia baik untuk dirinya.
Aku memberitahu suamiku kolagen itu boleh dicampurkan dengan jus Sunquick untuk
mengelakkan rasa hanyir. Tetapi suamiku terus memakannya dan ia mengatakan
rasanya seperti agar-agar tetapi rasanya agak tawar.
Sehingga hari ini, aku
belum berkesempatan lagi untuk memakan kolagen itu. Macam mana hendak makan
kolagen itu, kerana setiap pagi aku asyik sibuk menyediakan sarapan pagi
anak-anakku sebelum mereka pergi ke sekolah. Yang paling susah sekali ialah untuk
membangunkan anakku yang kedua. Liat sungguh untuknya bangun pagi. Kadang kala
stress juga aku dibuatnya. Setiap pagi aku kena siapkan sarapan mereka,
disamping itu memastikan mereka mesti membawa bekalan air minum untuk sekolah pagi
dan petang. Sebelum pergi, aku kena pastikan baju untuk sekolah sesi petang
juga dibawa bersama untuk diletakkan di Sekolah Agama kerana di sekolah
tersebut mempunyai kemudahan transit. Anak sulungku sekolah kebangsaan di waktu
pagi, anakku yang kedua pula sekolah agama di waktu pagi. Setiap pagi
aku mesti menghantar anakku yang bersekolah kebangsaan dahulu, sebelum
menghantar anakku yang kedua di sekolah agama. Walau pun penat, tapi aku rasa
puas kerana dapat menguruskan keperluan anak-anakku di waktu pagi. Aku
pernah terbaca dalam satu artikel, murid yang mengambil sarapan pagi
lebih mudah untuk menerima pelajaran dengan baik. Aku berharap penat
lelahku ini dapat menjadikan mereka, orang yang berilmu dan anak
yang soleh. Insyaallah...
Hari ini aku nekad untuk
cuba memakan kolagen itu. Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan tiada
kolegen pada rumpai laut, tetapi banyak maklumat yang baik telah aku peroleh
daripada mereka yang telah mencubanya. Pada pandanganku, setiap yang Allah
jadikan sudah tentu ada khasiatnya dan kita hanya berusaha untuk
mencuba selagi ia tidak menyalahi akidah dan ia halal. Waulahualam...
Rumpai Laut |