ADILAKU

Setiap kali balik daripada kerja, Stesen Radio Klasik FM rancangan Aku Dia dan Lagu yang dikenali dengan nama ADILA akan kedengaran di dalam keretaku.  Ia merupakan rancangan yangaku minati dan rancangan itu dapat  menarik ramai pendengar untuk menyertai rancangannya. Pengacaranya akan membaca kisah hidup pengirim yang mengirimkan  kisah hidup mereka ke Radio Klasik FM.   Ada juga pengirim menceritakan kisah hidup mereka yang sedih dan memilukan.  Apabila cerita itu menyentuh perasaanku, air mataku akan mengalir ke pipi tanpa disuruh.  Apabila ceritanya lucu, aku akan tersenyum sendirian di dalam kereta.  Suatu hari terdetik juga di hatiku untuk menghantar coretan hidupku ke rancangan Aku Dia dan Lagu.  Bermula dari situ, aku terus menulis tentang kisah hidupku.  Semasa aku menulis kisah hidupku, air mataku juga turut mengalir semasa menaip kerana terbayangkan kisah hidupku di masa silam.  Di sini aku coretkan kisah hidupku yang telah disiarkan dalam Radio Klasik rancangan ADILA.  Laman Page ini aku namakan ADILAKU adakah kerana ia membawa maksud Aku, Dia dan  Laguku...

Tiada Terbalas Jasamu Ayah
 


Aku telah dilahirkan hampir 5 dekat yang lalu. Pelbagai onak dan duri telah kuharungi sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Ayahku seorang askar, dan aku bangga dengan pekerjaan ayah. Ayah pernah bertugas di Conggo Afrika, sekitar tahun 1961. Ketika aku dilahirkan ayah tiada di sisi ibu. Ibu terpaksa harungi kesakitan seorang diri di kampung kerana ayah masih lagi di sana.
Semasa aku berumur 7 tahun, ayah telah ditugaskan ke Sarawak. Ibu tidak ikut ayah bertugas di Sarawak. Tinggallah kami semua bersama ibu. Ibulah yang mengatur segalanya terhadap kami lima beradik. Ibu tidak pernah ke sekolah, tapi ibu boleh menjaga kami dengan baik. Kami sering kesempitan wang, kerana mungkin agaknya ayah terlewat mengirimkan wang kepada ibu. Ayah! pernah seekor ayam telah masuk dalam rumah kerana hendak bertelur. Kami semua mendiamkan diri memerhatikan ayam itu dengan harapan jika ia bertelur, bolehlah kami berlaukkan telur goreng. Zaman dulu bukan mudah untuk dapat telur ayam seperti zaman sekarang. Tapi ayam pun pandai, ia seolah-olah tahu yang ada orang sedang memerhatikannya. Kami semua kecewa selepas melihat ayam itu keluar..

Ayah, kami begitu gembira bila ayah telah pulang dari Sarawak. Tapi rupanya ayah pulang ada cerita lain. Ayah beritahu ibu yang ayah telah berkahwin lagi. Ibu begitu sedih sekali dengar berita itu. Begitu luluh perasaan ibu bila ayah telah berkahwin lagi. Suatu petang, semasa aku pulang dari sekolah, api begitu marak tinggi menjulang. Rupa-rupanya ibu telah membakar semua uniform askar ayah di luar rumah. Semua jiran-jiran terperanjat dan kehairanan melihat sikap ibu. Ibu telah membuat keputusan untuk balik ke kampung untuk menenangkan perasaannya. Akibatnya kami semua juga terpaksa ikut ibu balik ke kampung dan bersekolah di sana.

 
Tidak disangka suatu hari ayah telah balik ke kampung.    Kami semua amat gembira dengan kepulangan ayah. Esoknya kami semua dibangunkan lebih awal untuk mandi. Agaknya ayah hendak bawa kami berjalan-jalan ke Teluk Intan. Ibu tidak pula bersiap-siap, tetapi sibuk di dapur menyiapkan sarapan pagi. Tiba-tiba ayah datang kepadaku dan berkata “Nur, nanti kalau orang tanya mana ibu, cakap ibu di belakang tau!” Aku diam sahaja. Masa itu aku baru berumur 9 tahun dan kakak yang tua pula berumur 10 tahun. Semasa kami hendak keluar rumah, tiba-tiba  ibuku memeluk kami semua sambil menangis dan mengatakan kami akan tinggal bersama ayah. Apabila aku melihat ibu menangis aku juga menangis apabila mengetahui ibu tidak akan ikut kami semua.   Adikku yang paling kecil ketika itu baru berusia 9 bulan. Ayah kendong adik kami yang paling kecil itu sambil membawa beg baju kami semua. Sejak itu kami semua tidak pernah berjumpa Ibu dan bermulalah kehidupan kami bersama ibu tiri.





 
Ayah! pelbagai peristiwa pahit dan manis yang telah kami harungi ketika hidup bersama ayah. Tapi kami semua tidak kisah dan masih tetap menyayangi ayah kerana ayah sanggup menjaga kami semua.   Ayah! kami tahu ayah selalu mempertahankan kami jika ibu tiri mengadu atas kenakalan kami. Itulah yang menyebabkan bertambah lagi kasih sayang kami terhadap ayah.
Ayah! pernah barang-barang rumah kita telah dilelong oleh pihak bank kerana ayah tidak bayar wang pinjaman bank.  Bila aku pulang dari kerja, beranda telah kosong. TV, peti ais, kipas, meja makan, sofa dan lain-lain lagi sudah tiada. Nasib baik di bilik tidur dan dapur tidak kena lelong. Kami tahu bukan ayah tidak boleh bayar, tapi duit syarikat telah dibawa lari oleh kawan kongsi ayah. Sejak itu kita semua hidup susah. Walaupun aku bekerja tapi tidak dapat membantu, kerana ketika itu aku bekerja sebagai kerani sambilan sahaja. Air selalu sahaja kena potong kerana sewa rumah tidak dibayar. Terpaksalah kami mengambil air di dewan bersebelahan dengan rumah untuk minum dan mandi.
Ayah ingatkan lagi?  Ayah  pernah berkata kepada kami adik beradik, walau susah macam manapun sekalipun, ayah akan tetap menjaga semua anak-anak ayah. Sampai sekarang aku tidak pernah lupa tentang itu ayah!...aku hormat, aku bangga pada ayah...Terima kasih ayah!
Hari yang paling aku ingat ketika ayah telah menghantarku ke pejabat., sebelum aku melangkah keluar dari kereta ayah berkata “Nur, ayah hendak pergi ke Merapoh, Pahang hari ini. Ayah wasiatkan Nur jaga adik-adik tau”. Aku tidak mahu pandang cermin depan untuk tatap wajah ayah, tapi aku diam sahaja dan terus keluar dari kereta, kerana aku takut ayah tahu aku sudah janji dengan kawan-kawan untuk pergi ke Port Dickson kerana esok cuti am, Hari Muharam.  Betapa ruginya aku ketika itu, kerana tidak memandang wajah ayah yang rupa-rupanya itulah sepatutnya wajah yang aku tatap.    Tidak sedap hati pula bila ayah berkata demikian. Aku tidak jadi ikut kawan-kawanku. Mereka semua memperlekehkan aku. Ayah! malam itu aku tidur tempat yang ayah selalu tidur. Tapi entah kenapa aku berbuat demikian...... (Jika aku tahu apa yang akan berlaku, aku akan cium tangan ayah sepuas-puasnya).

Keesokan harinya aku telah dikejutkan satu panggilan telefon dari Balai Polis, Kuala Lipis. Panggilan itulah yang telah meragut kebahagian dan ketenanganku selama ini. Aku bagaikan terpempan dan tidak percaya bila pemanggil itu mengatakan ayahku telah meninggal dunia. Aku menyuruh pemanggil itu memanggil adik lelakiku yang berusia 12 tahun yang ikut ayah ke sana, tetapi ia mengatakan rombongan ayahku telah pergi ke ke Balai Polis Kuala Lipis. Menggigil tanganku  menyelak buku telefon untuk mencari nombor telefon Balai Polis Kuala Lipis sambil berdoa “ Ya Allah, ya Tuhanku, kasihanilah hambamu ini kerana kami tidak ada tempat lain untuk bergantung selain daripada ayahku, Kau perkenankan doa hambamu ini ya Allah.” Aku terus hubungi Balai Polis Kuala Lipis tapi mereka mengatakan tidak ada menerima sebarang laporan kematian. Hatiku kembali lega. Aku menarik nafas panjang dan terus menghubungi kakakku.   Kakak juga tidak percaya apabila aku menyampaikan berita itu. Kemudian aku terima panggilan dari kakakku semula. Suaranya sebak dan mengesahkan berita itu. Air mataku tidak tertampung lagi dan jatuh berderai membasahi pipi. Perutku yang lapar sedari, terasa sebu.  Sehingga petang aku tidak dapat menelan sebarang makanan walaupun seteguk air kerana sedari pagi aku belum bersarapan. Kakak dan jiran kami telah pergi ke Kuala Lipis untuk menguruskan pengambilan mayat.
Sampai sahaja mayat ayah di rumah, mereka membaringkan ayah di ruang tamu. Baju ayah diseliputi tanah kerana semasa ayah menghadap Ilahi, ayah berada di dalam hutan di Merapoh. Aku tatap wajah ayah lama-lama, kemudian aku masuk ke dalam bilik dan terus  menangis sepuas-puasnya. Ayah! Aku tidak sanggup untuk menggunting baju di badan ayah yang penuh dengan tanah. Biarlah kakak dengan Faizah yang mengguntingnya Aku tidak sampai hati untuk melakukannya.   Ayah! tanpamu kurasa hidup ini tidak bererti. Di mana lagi tempat aku mengadu nasib. Tiada lagi kegembiraan di rumah ini tanpa ayah. Aku sememangnya rapat dengan ayah, hinggakan masalah teman lelaki pun aku cerita kepadanya. Bengkak mata kami adik beradik semasa menghantar ayah ke tempat persemadian kerana terlalu banyak air mata yang keluar. Ayah! kaulah orang yang aku amat sanjung dan aku sayang.... Al-Fatihah buatmu ayah, bersemadilah ayah dengan tenang. Aku sentiasa mendoakan agar ayah sentiasa digolongkan dalam orang-orang yang beriman. Amin......


 
(Nukilan ini telah disiarkan di stesen radio KL Klasik pada 19 Oktober 2011 dalam rancangan Aku, Dia dan Lagu jam 6.15 petang). Terima kasih KL Klasik.


AMBOI PAK ITAM SAYANG

Ketika aku pulang dari pejabat bersama anak keduaku Muhammad Irfan yang sekarang telah berusia 8 tahun (kebetulan hari itu cuti sekolah penggal akhir) Irfan asyik merengek kepadaku untuk membawanya ke pejabatku. abangnya Muhammad Idzham pula di rumah maduku kerana suamiku mengambil cuti untuk membuat kolam ikan di rumahnya). Sedang aku asyik berbual dengan Irfan, berkumandang lagu Amboi Pak Itam Sayang di stesen Radio Klasik. Sambil memandu aku menyanyi lagu tersebut kerana aku memang amat meminati lagu-lagu klasik lebih-lebih lagu lagu Saloma. Fikiranku melayang ke zaman 60-an, membayangkan budak-budak muda di zaman itu yang memakai baju petak-petak dan lengannya pula dilipat hingga ke paras lengan. Rambut mereka pula berminyak dan berketak-ketak dan disisir rapi ke belakang. Aku bayangkan budak-budak muda di zaman itu dalam filem P. Ramlee seperti pelakon S . Samsudin, Aziz Satar, S. Romai Noor, Nordin Ahmad dll. Setiap kali aku pulang dari pejabat, aku sering membuka siaran klasik nasional untuk mengikuti rancangan Adila yang bermaksud Aku, dia dan Lagu. Pernah disuatu ketika aku menangis seorang diri ketika memandu pulang ke rumah tatkala mendengar suatu kisah di rancangan tersebut. Cerita tersebut begitu menyentuh perasaanku. Ada juga tergerak di hatiku untuk menghantar coretan kenanganku ke rancangan tersebut, tetapi sampai sahaja di pejabat aku lupa kerana sibuk dalam menjalankan tugas-tugasku di pejabat.

 
 


Sedang aku asyik melayani lagu tersebut, tiba-tiba anakku Irfan terus menukar ke stesen lain. Terkejut aku dengan sikapnya yang tiba-tiba menukar stesen radio ke stesen yang lain. Kemudian ia berkata kepadaku, "Ibu, saya tidak sukalah lagu ini. “Kenapa pula” aku terus bertanya dengan nada yang tinggi. “Ibu baru nak dengar lagu itu, apasal pula Irfan tukar “ Aku bertanya lagi sambil menoleh ke arahnya. Irfan terus menjawab “Saya rasa macam nak muntahlah ibu bila dengar lagu itu” Aku terus berkata kepadanya " Ibu suka lagu ini, dan lagu ini sudah lama tau, dah hampir berusia 50 tahun!
 
Apabila ia tahu aku marah atas sikapnya tanpa meminta izin menukar ke stesen yang lain lantas ia pun bersuara "Lagu ini cerita pasal air liur meleleh lah ibu. Itu yang saya rasa macam hendak muntah" Irfan memberitahu aku kenapa ia berbuat demikian. "Laa....pasal itu saja ke?" aku bersuara. Selama ini aku mendengat lagu Amboi Pak Itam Sayang itu tidak pernah pula aku terfikirkan tentang air liur meleleh. Rasa hendak tergelak pula, tapi aku tidak menunjukkan sebarang reaksi yang melucukan. Rupanya ke situ pula tafsiran dia apabila mendengar lagu itu. “Sensitifnya Irfan ni” dalam hatiku berkata.

"Nanti jika ibu sudah tua, air liur ibu meleleh macam mana? Habis tu siapa nak tolong jaga ibu? Nak suruh Irfan, nanti Irfan muntah pula" Aku cuba mengujinya. "Kalau ibu macam itu sayalah yang jaga ibu, sebab ibu itukan, ibu saya" Irfan menjawab bersahaja sambil matanya meleret kepadaku. "Iyalah tu.....jangan hantar ibu ke rumah orang tua-tua sudahlah" Aku menjawab sambil mataku memandang ke arah anakku. Terasa sebak semasa aku menuturkan kata-kata itu terhadap anakku. Mendengar aku berkata demikian, Irfan terus memeluk lenganku dan berkata "Saya akan menjaga ibu, walaupun ibu sudah tua...". Di dalam hatiku berkata "Irfan, ibu sayang kepada Irfan, semoga Irfan jadi anak yang soleh.

Irfan selalu sangat kena selsema dan batuk-batuk semasa beliau di hujung tahun yang lepas. Apabila ia batuk-batuk sampai melebihi seminggu mulalah ia terkena semput. Terpaksalah aku membawanya ke klnik untuk mengambil gas. Sejak itu badannya semakin susut. Pelbagai usaha aku lakukan tapi belum lagi membuahkan hasil. Aku juga bertanya kepada kawan-kakwanku bagaimana untuk merawat dan mencegah penyakit beliau, kerana jika dadanya berbunyi aku tidak sampai hati untuk menyuruhnya pergi ke sekolah dan aku pula terpaksalah mengambil cuti kecemasan untuk menjaganya. Tapi aku telah pun membawanya ke Hospital Serdang, dan sekarang nampaknya semput beliau tidak sekerap dulu . Alhamdulillah!.....
Sambil memandu aku berdoa kepada tuhan agar aku sentiada di dalam keadaan sihat dan tidak mahu menyusahkan orang lain.  Apabila aku menoleh ke arah Irfan, ia sudahpun melelapkan matanya dan kepalanya terlentok ke arahku kerana keletihan bermain games di komputerku seharian di pejabat.  Irfan...Irfan.

 
(Nukilan ini telah disiarkan di stesen radio KL Klasik pada 6 September 2011 dalam rancangan Aku, Dia dan Lagu ). Terima kasih KL Klasik.

Sumber dari Amboi Pak Hitam Sayang




SABAR JE LAH...!

Setiap petang apabila aku pulang dari pejabat, aku akan mengambil anakku Idzham dan Irfan di sekolah agama Al-Hidayah, Taman Impian Ehsan, Selangor kerana mereka transit di situ sebelum pergi ke sekolah kebangsaan. Sebelum pulang ke rumah, aku akan mengira jumlah baju sekolah agama, samping, songkok, bekas air dll di dalam beg yang telah aku sediakan. Sejak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku, mereka berdua terpaksa transit di sekolah agama tersebut.  Memandangkan peringkat awal mereka baru sahaja transit di situ, ada sahaja barang yang hilang, Pernah suatu ketika seluar sekolah agama Idzham telah hilang,  yang tinggal hanyalah baju sekolah agama sahaja. Baju sekolah agamanya pula ada dua pasang, jika satu seluar sekolah agama sudah hilang, bermakna satu pasang sahaja yang boleh digunakan.  Marah sungguh aku kepadanya kerana sikapnya yang tidak ambil kisah sedangkan baju adiknya,  Irfan tidak pernah hilang.  Dalam hatiku berdoa agar janganlah pula ada  barang Irfan yang hilang.  Sepanjang perjalanan pulang, di dalam kereta aku membebel memarahi anakku Idzham.  Rasa kecewa di atas sikapnya yang tidak kisah atau tidak bertanggungjawab tentang pakaian mahupun apa jua  barang-barang sekolahnya.

Sedang aku membebel kepada anakku Idzham, tiba-tiba aku mendapat satu idea bagaimana untuk mengelakkan agar bajunya tidak hilang lagi.   Aku memanggil Idzham supaya datang kepadaku. "Idzham, ibu nak bagit ahu kat idzham, bagaimana baju  Idzham tidak hilang lagi”.  Sambungku lagi..”Setiap kali Idzham hendak buka baju sekolah agama, letakkan di bawah kaki  dan pijak baju itu dengan kaki Idzham,  kemudian bila Idzham buka samping dan juga seluar sekolah agama  letakkan juga  di bawah kaki dan Idzham pijak sekali dengan baju tadi. Bila Idzham sudah selesai buka baju ambil dan kira kesemua baju yang Idzham pijak tadi mesti ada tiga helai iaitu baju, seluar dan samping”.  Satu persatu aku terangkan agar ia faham apa yang hendak aku sampaikan.  Aku terus menyambung lagi “Kemudian ketiga-tiga helai kesemuanya tadi itu, Idzham masukkan ke dalam beg baju yang ibu bawa  supaya tidak diambil oleh kawan-kawan Idzham”.  “Faham tak?:  kataku sambil memandang tepat ke matanya. Idzham menjawab dengan  lembut dan mungkin ada perasaan bersalah  “Faham Ibu”  Aku menyambung lagi “Selepas ini, Ibu tidak mahu lagi ada barang-barang Idzham yang hilang.  Idzham sepatutnya menjadi contoh kepada adik dan tunjukkan Idzham adalah lebih baik atau lebih hebat dari Irfan”.  Saja aku berkata sedemikian untuk memberinya motivasi untuk meningkatkan semangatnya kembali.
 

Setelah mendengar jawapannya, di dalam hati aku berdoa kepada Allah  agar tidak berlaku lagi barang yang hilang di masa akan datang.   Idzham mendiamkan  diri  sahaja mendengar penjelasanku, mungkin ia boleh mempraktikkannya kelak.  Aku pernah bertanya kepada ustazah di situ,  kemungkinan seluarnya diambil oleh kawan-kawannya  yang menganggap seluar  itu milik mereka kerana masing-masing hendak cepat untuk menguruskan diri mereka masing-masing.  


Sampai sahaja di  rumah, aku menyuruh mereka mandi  dan mengambil wudhu sekali untuk bersembahyang.  Apabila masuk waktu maghrib,  Idzham akan bersembahyang bersama adiknya Irfan.  Aku pula sibuk mengemas rumah, memasak untuk menyediakan makan malam dan  sebagainya.   Setelah semuanya selesai kami akan makan malam bersama-sama.

Selepas makan malam pula, bila berkesempatan aku akan memeriksa buku latihan sekolah anak-anakku.  Dari satu buku latihan ke satu buku latihan yang lain dan aku akan menyemak setiap halaman.  Setiap kali aku menyemak ada saja kerja sekolah  Idzham yang tidak siap dan terpaksa menyuruhnya menyiapkannya di rumah.  Apabila aku menyuruh Idzham menyambung kerja sekolah yang tidak selesai,  dia mengatakan soalan tersebut diambil dari papan hitam yang ditulis oleh cikgunya pada hari itu. Dengan yang demikian, bermakna ia tidak boleh menghabiskan juga kerja-kerja sekolahnya yang tidak siap itu.  Mendengar penjelasan anakku itu, aku mula naik angin  sekali lagi,  kerana sikapnya yang tidak menyalin dahulu soalan yang ditulis di papan hitam itu.
Aku mula membebel kepada  Idzham.  Aku bertanya kenapa Idzham begitu lambat menulis soalan yang ditulis oleh guru di papan hitam. Idzham menjelaskan kepadaku, dia tidak berapa nampak tulisan di papan hitam itu. Aku pun bertanya lagi "Idzham kan sudah duduk di baris hadapan, Ibu sudah telefon guru kelas Idzham supaya  Idzham duduk di meja hadapankan!  Terpaksalah aku menalipon kawanku kerana anaknya satu kelas dengan Idzham dan meminta anaknya membacakan soalan yanga tidak sempat ditulis agar Idzham dapat menyelesaikan kerja sekolahnya.  Bila kerap sangat talipon kawanku itu, aku merasa malu sendiri kerana kelemahan anakku menyiapkan kerja.   Akhir sekali  aku memberikan satu lagi cadangan iaitu setiap kali gurunya menulis soalan di papan hitam, Idzham hendaklah menyalin soalan yang tidak sempat dijawab ke dalam buku nota.  Apabila balik dari sekolah, Idzham bolehlah meneruskan kerja sekolah yang tidak selesai itu.  Setakat ini cadangan itu nampaknya membuahkan hasil walaupun masih lagi ada lagi kerja sekolahnya yang tidak siap.
 
Akhrnya aku membuat keputusan akan membawa Idzham ke kedai cermin mata, kemungkinan matanya mungkin rabun ataupun silau sepertiku.   Semasa aku hendak pulang dari membeli barang keperluan di Econsave, Balakong, aku singgah sekejap di kedai cermin mata di dalam bangunan itu  juga dan memaklumkan kepada penjual itu supaya memeriksa mata anakku Idzham.  Setelah pemeriksaan selesai, penjual itu memaklumkan kepadaku yang Idzham memang mempunyai masalah silau yang begitu tinggi, masalah yang sama yang ku hadapi juga.
 
Setelah mendapat nasihat daripadanya, aku pun membuat keputusan untuk membuat cermin mata untuk Idzham.  Setelah memilih bingkai yang sesuai dengan mukanya, penjual itu memaklumkan kepadaku harga cermin mata tersebut bernilai RM290.00 setelah diambil kira kos bingkai dan power cermin mata.  Aduh! mahalnya...tetapi aku nekad dan berharap agar Idzham dapat membuat kerja sekolahnya dengan harapan tidak ada lagi perkataan tidak siap!  dari gurunya di dalam buku latihan.  dan Idzham dapat menulis soalan dengan cepat, selesa dan terang. Cermin mata itu aku ikat dengan tali yang diberi oleh penjual itu agar tidak hilang.  Malangnya tidak sampai dua bulan Idzham menggunakannya, cermin mata tersebut telah pun hilang. Idzham....Idzham....itu sahaja yang boleh aku katakan...sabar je lah...

 
Idzham yang manja
 
 
 
NURAFIDAH HANUM BINTI RAMLI,
TAMAN SETIA, BALAKONG.
7/10/2011


Aku lupa untuk mencatat bila tarikh nukilan ini telah disiarkan.