Ahad, 9 Jun 2013

Sukan Persahabatan antara DBP dengan Majlis Daerah Bera, Pahang.


6/6/2013 (Jumaat)

Aku balik awal untuk membawa anak-anakku berjalan di musim cuti di Temerloh, Pahang. Memandangkan kami semua belum makan tengahari, suamiku singgah di restoran mamak Sri Gombak,   Kami makan nasi beriyani.  Sedap juga, mungkin perut sudah lapar agaknya.   Selepas makan tengahari, kami pun bertolak.  Sebelum bertolak, aku memberitahu suamiku di cermin luar ada surat yang terselit di wiper.   Rupa-rupanya kami dapat surat saman sebanyak RM60.00 kerana tidak membayar tempat letak kereta.   Dalam hatiku rasa marah dan geram dan bertanya kepada suamiku kenapa tidak bayar parking yang tidak berapa sen.   Suamiku membertahuku, ia juga tidak tahu langusng tempat itu dikenakan bayaran letak kereta.   Aku memberitahu suamiku, jika boleh buatlah surat rayuan kepada Majlis Bandaran Selayang kelak.   Kami  teruskan perjalanan dan akhirnya sampai di Sri Malaysia Temerloh, hampir pukul 6.30 petang. Sempat juga anak-anakku mandi di kolam. Malam itu kami berlegar-legar di Pekan Temerloh. Kebanyakan kedai telah ditutup, walaupun ketika itu jarum jam baru menunjukkan pukul 8.30 malam.


 

Tidak sampai 15 minit anak-anakku mandi, Irfan asyik batuk-batuk sahaja seolah-olah seakan semput.  Risau juga kerana jika ia betul-betul semput, sudah tentu akan menjadi masalah untuk mencari klinik pula kerana tidak semua klinik ada penyedut oksigen itu.


Pagi itu, aku bangun awal untuk mengemas baju dan barang-barang lain takut ada yang tertinggal nanti, kerana kami akan bertolak ke bandar Bera pukul 9.30 pagi Selepas check-out, rupanya ada pekan sehari berdekatan dengan hotel Sri Malaysia. Sempat juga aku membeli serbuk kunyit hidup. Serbuk ini dibuat sendiri oleh orang kampung dengan tiada campuran bahan awet. Aku amat suka serbuk kunyit ini, kerana jika dibuat masakan pun baunya wangi tidak seperti serbuk kunyit yang siap di jual di dalam paket di pasaraya. Di samping itu ada ikan yang baru ditangkap di sungai. Kelihatan insang Ikan baung dan ikan patin masih lagi bergerak-gerak menunjukkan ia baru ditangkap. Sayang sekali aku tidak membawa coleman, kalau tidak dapat juga aku membeli ikan segar itu untuk membuat gulai kari ikan baung, perrhhhh!  kecur air liur aku bila membayangkannya.....







Di kiri dan kanan kelihatan ikan salai iaitu ikan yang dijemur pada matahari, tetapi aku tidak membelinya.   Aku berjalan lagi di pekan itu dan terjumpa buah salak. Buah salak ini merupakan buah kegemaran aku. Harganya pun murah sahaja 1 kilogram berharga RM6.00. Sempat aku mengambil gambar si comel yang menolong ibunya menjual buah salak ini. Suamiku pula membeli serbuk kopi yang dibuat sendiri oleh orang Melayu.


Pelbagai jenis barangan ada dijual pekan sehari di situ.  Yang paling banyak dijual ialah ikan salai, tempoyak, pelbagai kuih muih dan  sayuran kampung termasuk ulam-ulaman.

 


Sempat juga anak-anakku bergambar di pekan sehari di bandar Temerloh.

Kami meneruskan perjalanan ke bandar Bera. Setelah hampir 15 - 20 minit, kami pun sampai ke Bangunan Majlis Daerah Bera. Rupanya kami adalah orang yang pertama sampai ke sana, kerana bas DBP dan rakan kami Hamzah Awang yang menaiki kereta sendiri pun belum tiba lagi. Kami disambut baik oleh staf di sana. Setelah semuanya telah sampai, kami diberi minum pagi dan diadakan sedikit majlis Selamat Datang oleh YDP........





Selepas minum, terus diadakan pertandingan Karom dan Dart. Permainan Karom telah dimenangi oleh DBP 5-0 dan Dart pula kalah dengan mata 3-2. Suamiku kalah bermain Dart, ia berkata  semua yang dia baling dart tidak menjadi pula pada hari itu.

 
 
 
 
 
 
 



Yang canggihnya ialah di sebelah tempat pertandingan, ada bilik studio.  Sempat juga suamiku mendendangkan sebuah lagu Nash berjudul Ada Syurga di Wajahmu sementara menunggu makan tengahari.   Semasa makan tengah hari kami dijamu dengan  ikan patin masak tempoyak.

Selepas makan tengah hari, kami dibawa ke tempat pertandingan  permainan Badminton pula.  Di sebelah dewan badminton, ada tempat bermain Patangue.  Mereka mengajar cara permainan ini dan setelah semuanya faham cara permainan, terus diadakan pertandingan Patangue pula.  Memandangkan di luar agak panas, aku mengambil keputusan untuk masuk ke dalam dewan, tempat pertandingan badminton dijalankan.  Sementara menunggu pemain dan pengadil bersiap sedia, anak-anakku telah mengambil raket di belakang bonet keretaku dan dapatlah mereka bermain badminton sesama mereka.



 
 

 



Jam sudah menunjukkan hampir 4.45 petang.  Pukul 5.00 petang pula di adakan bola sepak dan bola jaring di padang berhadapan dengan bangunan Majlis Daerah Bera.  Badanku semakin letih.  Aku mengajak suamiku ke rumah rehat yang diberikan kepada staf DBP untuk kami menukar pakaian dan mandi manda.   Kami sekeluarga terus ke rumah rehat dan terus mandi untuk menyegarkan badan.  Aku tidak ke padang lagi untuk melihat kawan-kawanku bermain bola jaring dan bola sepak. Kami berehat sehingga jam 6.00 petang.  Kemudian suamiku mengajak kami ke Majlis Penutup di tempat yang sama semasa majlis menyambut kedatangan kami.   Kali ini wakil dari DBP membalas ucapan dan juga mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan mereka kerana  telah menyediakan makan/minum sepanjang pertandingan dijalankan.  Kami juga diberikan ole-ole oleh pihak Majlis Daerah Bera setiap seorang.  Tepat jam 8.30 malam kami pun berangkat pulang.  Selamat tinggal semua warga Majlis Daerah Bera dan terima kasih di atas layanan anda sepanjang kami berada di sana.....

 

Sukan Dalaman Puspanita

Aku  telah menerima e-mel di atas pelantikanku sebagai Penyelaras Sukan di Jabatan Penerbitan.  Memandangkan ramai staf bercuti kerana ketika itu cuti sekolah, sukan dalaman anjuran  Puspanita telah ditunda kepada tarikh 4 - 6 Jun 2013.  Sebagai penyelaras, tugas aku adalah  mencari pemain untuk Jabatan Penerbitan.  Aku telahpun menghantar e-mel kepada semua pentadbir di Jabatan Penerbitan untuk menghantar nama kepadaku yang ingin turut serta bagi permainan Congkak, Batu Seremban dan Dam Ular.  Dalam sekejapan aku telah mendapat nama pemain  bagi permainan Dam Ular dan Congkak.  Bagi permainan Batu Seremban aku hanya peroleh 3 orang staf sahaja.  Kebanyakan yang biasa bermain Batu Serembam telah dilantik sebagai juri dan AJK Induk.  
Pada 2 Jun 2013, aku telah mengambil cuti sakit.  Aku betul-betul terlupa tentang pertandingan sukan dalaman itu.   Apabila aku naik kerja, kawanku Zakiah memberitahuku nama pemain Batu Seremban diperlukan untuk pelepasan waktu pejabat.   Kelam kabut aku menghubungi setiap bahagian untuk meminta mereka turut serta, jika tidak Jabatan Penerbitan tidak akan ada wakil untuk permainan Batu Seremban.  Hampir setengah hari juga aku mencarinya.  Akhirnya dapat juga pemain Batu Seremban dengan menukar namaku sendiri kepada permainan Congkak, dan kawanku Zakiah kepada permainan Batu Seremban.   Permainan Dam Ular tidak menjadi masalah kerana sesiapa sahaja boleh menyertainya kerana tidak memerlukan kepakaran.
Setelah permainan dijalankan selama tiga hari, akhirnya Jabatan Penerbitan telah menjadi Juara dalam permainan Dam Ular, Naib Johan untuk permainan Congkak dan tempat ketiga dalam permainan Batu Seremban.  Walau apapun, sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua kawan-kawan yang telah menyertainya dan memberi sokongan padu agar Jabatan Penerbitan dapat menyertai semua sukan yang telah dipertandingkan. 


 
Permainan Batu Seremban (buah lima)
 
 
Permainan Congkak
 
 

 
 
Permainan Dam Ular