Rabu, 24 April 2013

Ahli Puspanita

PENGENALAN

24 April 2013 (Rabu)

Aku begitu terpanggil untuk menyertai  pertandingan membuat blog yang dianjurkan oleh pihak PUSPANITA DBP apabila aku menerima   e-mel dari PUSPANITA DBP pada 23 April 2013.   Setelah difikirkan apakah tema yang akan aku coretkan di blog ini yang bersesuaian dengan tajuk blogku iaitu Lembut Wanita, lantas aku membayang satu tema yang berpaksikan wanita yang berkerjaya kerana PUSPANITA merupakan satu kelab wanita yang bekerja atau lebih khusus bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Memandangkan warna tema PUSPANITA adalah warna ungu, aku akan gunakan sebanyak mungkin warna ungu agar lebih menepati dan selari dengan kehendak PUSPANITA.
Di sini ingin aku nyatakan  apa yang dimaksudkan atau definasi Pegawai Kerajaan dalam Perintah Am Bab A.
Pegawai ertinya semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak.
Pelantikan ertinya pelantikan ke dalam perkhidmatan awam oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak, termasuklah pelantikan kali pertama dan pelantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mana-mana skim perkhidmatan.
Puspanita ialah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia dengan nama singkatannya PUSPANITA, telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali. Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli.
Suri bermaksud wanita yang mempunyai suami yang bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Bermakna isteri kepada pegawai kerajaan  juga layak untuk menjadi ahli PUSPANITA.  Tetapi malangnya ramai di kalangan mereka tidak tahu atau maklumat tidak sampai kepada mereka atau berkemungkinan suami mereka juga tidak tahu tentang perkara ini. 
Banyak faedah yang boleh kita nikmati dan kecapi dengan menjadi ahli PUSPANITA, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai anak yang cemerlang dalam pelajaran kerana ganjaran pasti menanti untuk anak-anak kita.  Yang paling penting sekali jika anak kita dapat memasuki menara gading, PUSPANITA juga dapat memberi sedikit bantuan dalam bentuk wang tunai. Walau apa juga pun niat kita  menjadi ahli PUSPANITA, tetapi yang paling penting kita juga dapat berkenalan dengan ahli-ahli PUSPANITA yang berada di bawah  Kementerian Pelajaran ketika Mesyuarat Agung diadakan setiap tahun.
Dengan yuran yang dikenakan hanya RM10.00 setahun anda boleh  menjadi ahli PUSPANITA dan dengan bayaran yuran sekali sebanyak RM100.00 anda layak menjadi ahli seumur hidup.  Kepada pegawai yang baru dilantik sebagai penjawat awam, marilah menjadi ahli PUSPANITA bersama-sama dan anda boleh menikmati pelbagai faedah dan ganjaran dari semasa ke semasa dengan menjadi ahli PUSPANITA.