Jumaat, 26 April 2013

Benjolan Kecil di Ketiak

Dua minggu yang lepas, aku telah membaca artikel tentang kolagen rumpai laut. Pelbagai khasiat yang dipaparkan dalam artikel tersebut. Kebetulan pula adik iparku yang berada di Kuantan, turut mempromosikan pelbagai produk di facebooknya, antaranya ialah kolagen rumpai laut. Aku terus bertanya kepada adikku dan ingin memiliki satu untuk mencubanya. Tetapi adik iparku dengan baik hati telah menghantar kepadaku secara pos laju dengan percuma sahaja untuk aku memcubanya.
Kebetulan semasa itu, di ketiakku ada benjolan kecil dan aku berasa sakit jika aku menyentuhnya. Aku memaklumkan kepada kakakku dan adik iparku. Mereka menyuruh aku membuat pemeriksaan kerana benjolan kecil di ketiak merupakan tanda-tanda awal penyakit kanser payu dara. Adik iparku juga memaklumkan, kolagen rumpai laut ini tidak boleh dimakan sekiranya seseorang mempunyai penyakit kanser. Hatiku amat bimbang, lantas aku mencari maklumat benjolan kecil di ketiak dalam internet. Pelbagai maklumat yang aku peroleh dan ada yang mengatakan berkemungkinan bengkak kelenjar dan ada juga yang mengatakan kanser.
Dalam dua tiga hari itu hatiku tidak tenang dan sentiasa berasa dalam keadaan bimbang jika ia betul-betul berlaku ke atas diriku. Setiap kali aku mandi, aku akan membersihkan ketiakku dengan lembut sambil membaca salawat nabi sebanyak-banyaknya serta berdoa kepada Allah s.w.t. agar aku dijauhkan dari penyakit yang amat ditakuti oleh setiap wanita. Aku bertanya kepada kawan-kawanku di pejabat. Mereka menyarankan kepadaku agar pergi ke Klinik Medic di Bangunan KWSP kerana doktor di situ pakar dalam penyakit yang sedemikian. Aku telah telefon ke klinik tersebut untuk membuat temujanji. Jururawat di situ memaklumkan doktor Chong (doktor pakar yang dimaksudkan) bertugas di klinik tersebut pada hari Isnin, Rabu dan Khamis.
Sementara menunggu hari Rabu, Alhamdulillah benjolan di ketiakku semakin mengecil dan mengecil. Sehinggalah pada hari Rabu benjolan kecil di ketiakku akhirnya telah tiada. Walaupun begitu aku teruskan juga niatku untuk pergi ke klinik tersebut bagi mengenalpasti apakah penyakit tersebut. Malangnya Doktor Chong mengatakan aku tidak mempunyai sebarang tanda-tanda penyakit kanser ataupun bengkak kelenjar. Aku bersyukur kepada Allah kerana terlepas dari penyakit yang boleh membawa maut. Walau bagaimanapun, aku tetap akan pergi juga ke klinik tersebut sekiranya benjolan kecil terjadi lagi pada diriku di kemudian hari. Kali ini aku akan memastikan aku pergi ke klinik tersebut semasa benjolan itu masih bengkak. Insyaallah....