Sabtu, 27 April 2013

Kolagen Rumpai Laut


27/4/2013 (Sabtu) 
Sudah dua minggu aku terima rumpai laut daripada adik iparku di Kuantan melalui pos laju. Rumpai laut yang diberikan oleh adik iparku itu berwarna kuning. Baru kelmarin aku merebusnya mengikut cara yang telah ditetapkan. Dengan api yang perlahan, aku mengacau rebusan rumpai laut itu sehingggalah ia menjadi air likat seperti kanji. Setelah semuanya telah hancur, aku pun menapis air rebusan rumpai laut itu yang telah menjadi air kanji yang pekat ke dalam satu bekas.  Rumpai laut mempunyai perlbagai khasiat. Jika anda ingin mengetahui khasiat rumpai laut bolehlah baca di sini khasiat rumpai laut.

Sementara menunggu air rumpai laut itu sejuk, aku membuat kerja-kerja rumah yang lain. Bahan serdak tapisan itu pula aku letakkan di satu bekas yang lain kerana boleh dibuat mask muka bila aku berkelapangan kelak. Kemudian aku kembali semula ke rebusan rumpai laut tadi. Aku lihat rumpai laut itu seperti agar-agar sahaja. Setelah agak sejuk aku simpan ke dalam peti sejuk.

Keesokan paginya aku mengambil dua sudu rumpai laut itu dan meletakkannya ke dalam cawan. Aku berikan kolagen rumpai laut itu kepada suamiku untuk ia merasainya sebelum aku sendiri merasainya kemudian. Aku memaklumkan kepada suamiku yang ini adalah kolagen rumpai laut yang mana salah satu khasiatnya ialah boleh mengurangkan kadar gula dalam darah.  Suamiku adalah seorang pengidap kencing manis. Suamiku ini memang tidak kisah jika aku memberinya ubat, jika ia baik untuk dirinya. Aku memberitahu suamiku kolagen itu boleh dicampurkan dengan jus Sunquick untuk mengelakkan rasa hanyir. Tetapi suamiku terus memakannya dan ia mengatakan rasanya seperti agar-agar tetapi rasanya agak tawar.

Sehingga hari ini, aku belum berkesempatan lagi untuk memakan kolagen itu. Macam mana hendak makan kolagen itu, kerana setiap pagi aku asyik sibuk menyediakan sarapan pagi anak-anakku sebelum mereka pergi ke sekolah. Yang paling susah sekali ialah untuk membangunkan anakku yang kedua. Liat sungguh untuknya bangun pagi. Kadang kala stress juga aku dibuatnya. Setiap pagi aku kena siapkan sarapan mereka, disamping itu memastikan mereka mesti membawa bekalan air minum untuk sekolah pagi dan petang. Sebelum pergi, aku kena pastikan baju untuk sekolah sesi petang juga dibawa bersama untuk diletakkan di Sekolah Agama kerana di sekolah tersebut mempunyai kemudahan transit. Anak sulungku sekolah kebangsaan di waktu pagi, anakku yang kedua pula sekolah agama di waktu pagi. Setiap pagi aku mesti menghantar anakku yang bersekolah kebangsaan dahulu, sebelum menghantar anakku yang kedua di sekolah agama. Walau pun penat, tapi aku rasa puas kerana dapat menguruskan keperluan anak-anakku di waktu pagi. Aku pernah terbaca dalam satu artikel,  murid yang mengambil sarapan pagi lebih mudah untuk menerima pelajaran dengan baik.  Aku berharap penat lelahku ini dapat menjadikan mereka, orang  yang berilmu dan anak yang soleh. Insyaallah...


Hari ini aku nekad untuk cuba memakan kolagen itu. Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan tiada kolegen pada rumpai laut, tetapi banyak maklumat yang baik telah aku peroleh daripada mereka yang telah mencubanya. Pada pandanganku, setiap yang Allah jadikan sudah tentu ada khasiatnya dan kita hanya berusaha untuk mencuba selagi ia tidak menyalahi akidah dan ia halal. Waulahualam...

Rumpai Laut

Jumaat, 26 April 2013

Benjolan Kecil di Ketiak

Dua minggu yang lepas, aku telah membaca artikel tentang kolagen rumpai laut. Pelbagai khasiat yang dipaparkan dalam artikel tersebut. Kebetulan pula adik iparku yang berada di Kuantan, turut mempromosikan pelbagai produk di facebooknya, antaranya ialah kolagen rumpai laut. Aku terus bertanya kepada adikku dan ingin memiliki satu untuk mencubanya. Tetapi adik iparku dengan baik hati telah menghantar kepadaku secara pos laju dengan percuma sahaja untuk aku memcubanya.
Kebetulan semasa itu, di ketiakku ada benjolan kecil dan aku berasa sakit jika aku menyentuhnya. Aku memaklumkan kepada kakakku dan adik iparku. Mereka menyuruh aku membuat pemeriksaan kerana benjolan kecil di ketiak merupakan tanda-tanda awal penyakit kanser payu dara. Adik iparku juga memaklumkan, kolagen rumpai laut ini tidak boleh dimakan sekiranya seseorang mempunyai penyakit kanser. Hatiku amat bimbang, lantas aku mencari maklumat benjolan kecil di ketiak dalam internet. Pelbagai maklumat yang aku peroleh dan ada yang mengatakan berkemungkinan bengkak kelenjar dan ada juga yang mengatakan kanser.
Dalam dua tiga hari itu hatiku tidak tenang dan sentiasa berasa dalam keadaan bimbang jika ia betul-betul berlaku ke atas diriku. Setiap kali aku mandi, aku akan membersihkan ketiakku dengan lembut sambil membaca salawat nabi sebanyak-banyaknya serta berdoa kepada Allah s.w.t. agar aku dijauhkan dari penyakit yang amat ditakuti oleh setiap wanita. Aku bertanya kepada kawan-kawanku di pejabat. Mereka menyarankan kepadaku agar pergi ke Klinik Medic di Bangunan KWSP kerana doktor di situ pakar dalam penyakit yang sedemikian. Aku telah telefon ke klinik tersebut untuk membuat temujanji. Jururawat di situ memaklumkan doktor Chong (doktor pakar yang dimaksudkan) bertugas di klinik tersebut pada hari Isnin, Rabu dan Khamis.
Sementara menunggu hari Rabu, Alhamdulillah benjolan di ketiakku semakin mengecil dan mengecil. Sehinggalah pada hari Rabu benjolan kecil di ketiakku akhirnya telah tiada. Walaupun begitu aku teruskan juga niatku untuk pergi ke klinik tersebut bagi mengenalpasti apakah penyakit tersebut. Malangnya Doktor Chong mengatakan aku tidak mempunyai sebarang tanda-tanda penyakit kanser ataupun bengkak kelenjar. Aku bersyukur kepada Allah kerana terlepas dari penyakit yang boleh membawa maut. Walau bagaimanapun, aku tetap akan pergi juga ke klinik tersebut sekiranya benjolan kecil terjadi lagi pada diriku di kemudian hari. Kali ini aku akan memastikan aku pergi ke klinik tersebut semasa benjolan itu masih bengkak. Insyaallah....



Khamis, 25 April 2013

Rumahku Syurgaku

25/4/2013 (Khamis)



25/4/2013 (Khamis)

Yaa..Hoo!..... Hari ini merupakan hari pembayaran gaji untuk staf Dewan Bahasa dan Pustaka. Bolehlah aku merancang apa aktiviti yang hendak aku lakukan bersama keluarga di hujung minggu ini. Tetapi pada hari Sabtu ini, anakku Idzham ada kelas tambahan kerana tahun ini anakku akan mengambil peperiksaan UPSR. Aku cuma boleh pergi beriadah selepas anakku balik dari sekolah.
  















Hari ini ada ceramah agama yang disampaikan oleh seorang ustaz bernama Suhaimi Abdul Wakid bertajuk Rumahku Syurgaku atau Baiti Jannati dalam Bahasa Arab di Dewan Seminar., Dewan Bahasa dan Pustaka.  Terpanggil juga untuk pergi mendengar ceramah apabila melihat tajuk ceramah tersebut di papan tanda.  Mungkin banyak manfaat yang boleh diambil untuk diriku dan juga keluargaku.   Alhamdulillah akhirnya dengan izin Allah,  dapat juga aku menghadirkan diri dalam majlis ceramah agama tersebut.

Dengan cara penyampaiannya yang bersahaja, tidak kering gusi kami semua ketawa apabila mendengar kisah pahit mahit tapi lucu bila beliau bercerita tentang pengalamannya semasa beliau didatangi orang ramai semasa dalam menjalankan perkhidmatannya sebagai Pegawai Agama di pejabatnya.  

Beliau juga menceritakan antara lelaki dan perempuan sama sahaja nakalnya, cuma mungkin lelaki lebih sedikit nakal daripada perempuan.   Ada juga kisah isteri dipukul dan dipijak oleh suami sedangkan isterinya baru  tiga hari melahirkan anak disebabkan suami tidak dapat duit yang diminta kerana ketagihan berjudi.

Cerita yang paling pelik tapi lucu, apabila beliau menceritakan ada juga suami yang dipukul isteri dengan batang kayu mop.  Selalu yang kita dengar suami memukul isteri, tetapi yang ini sebaliknya.  Ada juga  suami yang kena terajang oleh isteri sampai patah tulang selangka.  Walau apa juga cerita yang disampaikan dalam bentuk lucu tapi bermakna, eloklah  kita bermunasabah kepada diri sendiri agar tidak berlaku kepada kita pula.  Subhanaullah....Simpang malaikat 44, kata orang.

Cerita ustaz yang paling dahsyat, apabila ustaz itu memberitahu ada isteri yang menggunakan sihir terhadap suaminya (rasanya tidak perlu diceritakan di sini kerana takut pula menjadi ikutan kepada orang lain).   Kadangkala aku rasa terharu, sedih apabila mendengar penjelasan ustaz tentang hak isteri dan bagaimana untuk menjadi isteri yang solehah.  Aku berdoa agar aku juga dapat menjadi isteri yang solehah untuk suamiku dan ibu yang baik untuk anak-anakku.  Amin...

Anak-Anakku







Rabu, 24 April 2013

Ahli Puspanita

PENGENALAN

24 April 2013 (Rabu)

Aku begitu terpanggil untuk menyertai  pertandingan membuat blog yang dianjurkan oleh pihak PUSPANITA DBP apabila aku menerima   e-mel dari PUSPANITA DBP pada 23 April 2013.   Setelah difikirkan apakah tema yang akan aku coretkan di blog ini yang bersesuaian dengan tajuk blogku iaitu Lembut Wanita, lantas aku membayang satu tema yang berpaksikan wanita yang berkerjaya kerana PUSPANITA merupakan satu kelab wanita yang bekerja atau lebih khusus bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Memandangkan warna tema PUSPANITA adalah warna ungu, aku akan gunakan sebanyak mungkin warna ungu agar lebih menepati dan selari dengan kehendak PUSPANITA.
Di sini ingin aku nyatakan  apa yang dimaksudkan atau definasi Pegawai Kerajaan dalam Perintah Am Bab A.
Pegawai ertinya semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak.
Pelantikan ertinya pelantikan ke dalam perkhidmatan awam oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak, termasuklah pelantikan kali pertama dan pelantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mana-mana skim perkhidmatan.
Puspanita ialah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia dengan nama singkatannya PUSPANITA, telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali. Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli.
Suri bermaksud wanita yang mempunyai suami yang bekerja sebagai pegawai kerajaan.  Bermakna isteri kepada pegawai kerajaan  juga layak untuk menjadi ahli PUSPANITA.  Tetapi malangnya ramai di kalangan mereka tidak tahu atau maklumat tidak sampai kepada mereka atau berkemungkinan suami mereka juga tidak tahu tentang perkara ini. 
Banyak faedah yang boleh kita nikmati dan kecapi dengan menjadi ahli PUSPANITA, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai anak yang cemerlang dalam pelajaran kerana ganjaran pasti menanti untuk anak-anak kita.  Yang paling penting sekali jika anak kita dapat memasuki menara gading, PUSPANITA juga dapat memberi sedikit bantuan dalam bentuk wang tunai. Walau apa juga pun niat kita  menjadi ahli PUSPANITA, tetapi yang paling penting kita juga dapat berkenalan dengan ahli-ahli PUSPANITA yang berada di bawah  Kementerian Pelajaran ketika Mesyuarat Agung diadakan setiap tahun.
Dengan yuran yang dikenakan hanya RM10.00 setahun anda boleh  menjadi ahli PUSPANITA dan dengan bayaran yuran sekali sebanyak RM100.00 anda layak menjadi ahli seumur hidup.  Kepada pegawai yang baru dilantik sebagai penjawat awam, marilah menjadi ahli PUSPANITA bersama-sama dan anda boleh menikmati pelbagai faedah dan ganjaran dari semasa ke semasa dengan menjadi ahli PUSPANITA.